Pengguna Google Pixel Kini Boleh Menggunakan Night Sight Terus Dari Dalam Instagram
Fahim Zahar
Night Sight adalah ciri mengambil gambar dengan mod malam eksklusif untuk peranti Google Pixel. Ia kali pertama diperkenalkan dalam siri Pixel 3 dan kekal ditawarkan sehingga hari ini di dalam siri Pixel 9. Mod ini menggunakan pembelajaran mesin dan algoritma tersendiri memastikan hasil gambar cerah, terang dan butiran dipelihara tanpa menggunakan flash. Terbaru, Google mengaktifkan ciri ini terus dari dalam aplikasi Instagram.

Melalui kemas kini Android 15 yang telah diedarkan kepada pengguna Pixel sejak malam 15 Oktober, semua pengguna Pixel 6 dan ke atas boleh memanfaatkan ciri ini. Tiada apa-apa tetapan perlu dilakukan, hanya buka aplikasi Instagram, tekan ikon “+” dan pilih Story. Jika suasana gelap, Instagram akan terus memaparkan ikon bulan sabit bersebelahan dengan ikon flash.

Seperti Night Sight, selepas butang pengatup ditekan – gambar akan diproses dalam beberapa saat dengan tangan pengguna dikehendaki kekal stabil untuk imej gelap tadi diproses menjadi lebih terang yang sedap mata memandang. Kemas kini ini adalah sebahagian daripada Pixel Feature Drop dan ciri ini diberi nama sebagai Night Sight for Instagram.

[sumber] Google Support [/sumber]