Samsung dilihat cuba menarik perhatian umum dengan berkongsi video mengenai kehadiran produk baharu pada 21 Oktober 2024. Video tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang butiran terperinci dan hanya menunjukkan seorang lelaki memegang sampul surat putih lalu mengetuk pintu, di samping tarikh pelancaran pula di penghujung video tersebut.
Ramai membuat andaian bahawa Samsung mungkin melancarkan peranti edisi terhad untuk Galaxy Z Fold6. Malah apa yang menguatkan lagi spekulasi tersebut apabila munculnya imej yang memaparkan telefon lipat terkini Samsung dengan binaan lebih nipis. Namun seperti biasa nantikan kemaskini lebih lanjut untuk ketahui kejutan yang disediakan oleh Samsung ini.
Samsung Galaxy Z Fold6 dilancarkan sebelum ini dengan rekaan baharu dan berharga bermula RM7,299 di Malaysia. Ia menampilkan skrin sebesar 6.3-inci diluar dan 7.6-inci didalam yang menyokong panel sejenis Dynamic AMOLED 2X 120Hz. Ia juga dijana oleh cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy, memori 12GB RAM, storan sehingga 1TB, dan bateri 4400 mAh yang menyokong pengecasan 25W.
Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, lensa ultra sudut lebar 12MP dan lensa telefoto 10MP yang menyokong zum optikal 3X. Kamera swafoto luaran adalah sebesar 10MP manakala di bahagian dalam pula masih lagi 4MP yang disorokkan di bawah skrin. Keunikan model baharu ini ialah ciri khusus Galaxy AI untuk peranti skrin lipat menerusi sistem operasi OneUI 6.1.1 berasaskan Android 14.