Set Teater Rumah Harman Kardon Enchant Kini Di Malaysia, Harga Bermula RM1,599
Fahim Zahar
Minggu ini nampaknya dua set teater rumah dilancarkan di Malaysia dengan kedua-duanya menawarkan pengalaman pendengaran imersif yang berbeza. Selepas Sonos, hari ini Harman Kardon melancarkan siri Enchant dan speaker Onyx baharu mereka.

Siri Enchant
Untuk siri Enchant ini; Enchant 1100, Enchant Speaker dan Enchant Sub dicadangkan untuk digunakan bersama-sama sebagai satu set teater rumah. Enchant 1100 adalah sebuah soundbar Dolby Atmos dengan teknologi MultiBeam untuk memastikan pentas audio adalah luas dan lebar. Enchant 1100 hadir dengan 8+3 pemandu audio 60W woofer dan 50W tweeter serta transduser audio 6+3+2 pemandu audio racetrack, tweeter dan pemandu audio pancaran atas.

Untuk sambungan, Harman Kardon Enchant 1100 menyokong wayar optikal atau sambungan Bluetooth. Akses pantas ke platform penstriman audio disokong sehingga lebih 300 platform berbeza. Sistem Smart Dialogue Enhancement turut ditawarkan untuk memastikan perbualan di dalam filem lebih terang. Soundbar turut hadir dengan rekaan moden sesuai dipadankan dengan pelbagai perabot.

Untuk Enchant Speaker, ia adalah speaker mudah alih Dolby Atmos dengan audio 3D yang boleh mimik pengalaman pendengaran imersif yang luas. Ia menyokong sambungan Bluetooth, WiFi dan AirPlay serta Spotify Connect. Speaker ini turut hadir dengan sistem penalaan automatik yang boleh memastikan audio seimbang dan stabil mengikut citarasa pengguna. Enchant Speaker dilengkapi dengan pemandu audio 1+1+3 tweeter, woofer, dan pemandu audio pancaran atas.

Seterusnya adalah Enchant Sub sebagai sub-woofer tersendiri. Produk ini akan melengkapkan penggunaan soundbar dan speaker menjadi teater rumah. Enchant Sub mampu menggegarkan ruangan menonton filem atau mendengar muzik dengan bass frekuensi rendah memberi pengalaman imersif tanpa disedari.

Akhir sekali adalah satu lagi soundbar yang lebih mampu milik iaitu Enchant 900. Ia adalah alternatif kepada Enchant 1100 dalam saiz yang lebih kecil. Menariknya, walaupun hanya mempunyai 9 pemandu audio di dalamnya – semua ciri dan fungsi masih dikekalkan. Bezanya, pementasan audio pada Enchant 900 adalah terhad dan audio spatial terhad kepada 5.1.4 berbanding 7.1.4.

Onyx Studio
Jika anda ingat akan speaker ini, ia pernah menjadi tular di Malaysia kerana dengan setiap pembelian peranti Samsung Galaxy pada suatu ketika dahulu speaker ini diberikan secara percuma. Kini selepas pelbagai generasi dan rekaan, generasi kesembilan iaitu Onyx Studio 9 pula dilancarkan. Ia adalah speaker mudah alih dengan mengekalkan profil audio sama dengan soundbar.

Ia direka untuk mudah di bawa ke mana sahaja dan pada masa yang sama juga sesuai menjadi hiasan di dalam rumah apabila tidak digunakan. Ciri Auracast turut disokong dengan ia boleh digunakan bersama speaker lain dengan ciri sambungan sama.
Siri FLOW/FEEL
Di acara ini, Harman Kardon Malaysia turut mengumumkan kehadiran beberapa sistem audio untuk kenderaan di bawah siri FLOW dan FEEL. Tidak banyak spesifikasi didedahkan berbanding siri Enchant, tetapi apa yang pasti adalah Harman Kardon menyasarkan pemandu kereta seperti BMW, Mini Cooper dan Toyota Alphard.

Penjelasan ringkas wakil Harman Kardon beritahu kami adalah, siri FLOW dan FEEL ini membawakan wayang rumah ke dalam kereta dengan pengalaman audio Harman Kardon yang semua kenal. Penggunaannya juga sama dengan pengguna boleh memilih sama ada ingin sambungkan speaker utama sahaja atau turut tambah sub-woofer.
Harga Jualan
Setiap speaker Harman Kardon ini akan dijual secara berperingkat. Sesetengah produk telah pun dijual sejak bulan September lepas dan beberapa yang lain akan tiba pada November dan Disember. Untuk speaker di dalam kereta, pengedar sah dan beberapa kedai aksesori kereta telah pun menawarkannya sejak beberapa bulan lalu.
- Harman Kardon Enchant 1100 – September 2024, MYR4,899
- Harman Kardon Enchant 900 – December 2024, MYR3,499
- Harman Kardon Enchant Sub – December 2024, MYR2,499
- Harman Kardon Enchant Speaker – September 2024, MYR1,599
- Harman Kardon Onyx Studio 9 – November 2024, MYR1,299
- FLOW 600CF, RM4,280
- FLOW 601CFS, RM3,480
- FLOW 300S, RM2,180
- FLOW 75T, RM580
- FLOW 80, RM1,480
- FEEL 700, RM2,280