Beberapa tahun kebelakangan ini, ia dapat dilihat bahawa terdapat banyak insiden pencerobohan data yang berlaku di Malaysia, termasuklah serangan penggodam keatas syarikat-syarikat tempatan bersaiz kecil ataupun besar dan juga pelbagai badan-badan kerajaan.
Semalam, Gobind Singh Deo, Menteri Digital telah mengumumkan bahawa sebanyak 646 kes pencerobohan data telah dilaporkan sepanjang tahun 2023, yang mencatatkan peningkatan sebanyak kira-kira 1192 peratus berbanding hanya 50 kes yang dilaporkan pada tahun 2022.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong di Dewan Rakyat semalam. Gobind mengatakan bahawa serangan godaman dan insiden-insiden pencerobohan data ini akan mengakibatkan isu yang lebih serius dimana data yang dicuri ini boleh digunakan untuk melakukan serangan kejuruteraan sosial yang lebih teruk terhadap bukan sahaja para pekerja syarikat tetapi rakyat jelata secara umumnya.
Gobind juga berkongsi tentang insiden pencerobohan data yang berlaku sepanjang tahun 2024, dan berkata bahawa setakat September 2024, sebanyak 427 insiden sudahpun dilaporkan kepada pihak kerajaan.
Untuk menangani isu ini, Kementerian Digital telah bekerjasama dengan bahagian Pre–emptive Technology & Services Division di CyberSecurity Malaysia untuk memeriksa sebarang aktiviti mencurigakan didalam rangkaian-rangkaian tempatan. Sistem pemantauan ancaman siber juga telah ditubuhkan untuk memastikan data kerajaan dan rakyat tidak dijual di laman-laman web gelap.
Sebagai langkah pencegahan, Kementerian Digital juga telah mengumpul maklumat tentang pencerobohan data dan kerentanan sekuriti digital yang berlaku di kementerian dan agensi-agensi kerajaan. Mereka juga akan memperkenalkan garis panduan dan memberikan latihan kepada para penjawat awam untuk memastikan mereka tidak menjadi vektor serangan-serangan siber ini.