ColorOS 15 Berasaskan Android 15 Rasmi Dengan Antaramuka Baharu Dan Ciri AI
Amy Maizuraa
Pelancar baharu ColorOS15 berasaskan Android 15 telah diumumkan secara rasmi dengan penekanan terhadap beberapa perkara. Antaranya ialah antaramuka yang diperbaharui dengan ikon lebih kemas, prestasi sistem dipertingkatkan dan kecanggihan teknologi AI.

Pelancar baharu ini membawakan antarammuka yang dikemaskini dengan tumpuan besar pada animasi. Ia dilengkapi dengan teknologi Aurora dan Tidal Engine yang membolehkan peranti menjalankan animasi aplikasi secara selari seterusnya memastikan peralihan yang lancar apabila bertukar diantara aplikasi.
Dalam masa sama mempunyai kesan gerakan lebih baik dengan animasi yang lancar. Ini bermakna pengalaman peralihan animasi yang responsif dan lancar boleh dirasai tanpa isu lengah masa meskipun pengguna bertukar ganti daripada satu aplikasi ke yang lain dengan cepat.
Oppo juga mengoptimumkan sistem dengan peningkatan kadar tindak balas dalam aplikasi sebanyak 18%, dan proses pemasangan aplikasi menjadi 26% lebih pantas. Situasi ini sepatutnya mampu menghasilkan masa muat-turun aplikasi lebih pantas di samping pengalaman multi-tugas yang lancar.
Tidak ketinggalan pengguna turut boleh menikmati kadar bingkai yang tinggi mencapai 116.7FPS untuk permainan tanpa ralat yang berkaitan lengah masa, penurunan kadar bingkai dan sebagainya. Panel pemberitahuan turut direka semula untuk memudahkan pengguna mengakses fungsi penting dengan lebih baik dan lancar.

Kecerdasan buatan bagaimanapun paling penting yang diyakini mampu mempengaruhi pengalaman keseluruhan penggunaan pelancar baharu ini. Misalnya seperti ciri Snap-and-Ask yang membolehkan pengguna mengambil gambar objek dan mendapatkan maklumat dalam masa nyata melalui kamera. Ini memudahkan pengguna untuk mencari maklumat dengan cepat tanpa perlu melakukannya secara manual.

Terdapat juga pembantu chatbot AI XiaoBu Assistant yang boleh muncul pada skrin. Melaluinya pengguna bukan sahaja boleh bertanyakan soalan malahan mencari maklumat dengan cepat menggunakan kaedah yang serupa seperti Circle to Search di Google.

Sementara itu AI Image Assistant boleh meningkatkan kualiti imej tanpa tanpa kehilangan butiran penting. Sebagai contoh imej yang dipangkas dengan resolusi rendah boleh ditukar menjadi 4K dalam masa yang singkat. AI Office Suite pula menyediakan pelbagai kemudahan pengurusan dokumen lebih baik yang termasuk kebolehan pertukaran format fail dan ringkasan teks dengan cepat.

AI Voice Summary dilihat berfungsi seumpama AI Honor Notes yang boleh menghasilkan transkripsi audio secara automatik. Ia boleh merekod dan menterjemahkan perbualan secara masa nyata bagi memastikan pengguna tidak terlepas sebarang perkara penting.
Paling menarik tentulah pengurusan dan perkongsian fail yang kini serasi dengan peranti iPhone. Seterusnya membolehkan pengguna memindahkan fail, foto dan video merentas platform dengan cepat. Selain itu menawarkan ciri Automatic SMS Cleanup yang boleh mengesan dan mengalih keluar kod pengesahan yang tamat tempoh daripada ruangan mesej untuk pengurusan peti masuk lebih teratur.

Lain-lain ciri yang boleh ditemui termasuklah Dual App Split-Screen Mode untuk pengalaman multi tugas lebih efisien, teknologi Trusted Execution Environment untuk memproses data peribadi dengan selamat dan klon Dynamic Island yang kini boleh disesuaikan malahan kelihatan serupa ditawarkan pada peranti Apple.