Proses menghasilkan karya digital perlu melalui beberapa langkah awal terlebih dahulu. Secara lazim lakaran yang ringkas dihasilkan sebelum dihasilkan semula dalam Photoshop atau Illustrator dengan ia boleh mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Di acara Adobe Max beberapa ciri baharu yang boleh meringkas proses penghasilan karya diperlihatkan seperti Project Remix A Lot.
Project Remix A Lot menggunakan kecerdasan buatan (AI) generatif untuk mengubah lakaran kasar menjadi karya akhir dalam masa beberapa saat sahaja. Demo diperlihatkan di dalam Illustrator dengan lakaran pensel sebuah poster yang diimbas secara automatik diubah menjadi poster digital menerusi ciri. yang diberi nama Sketch to Layout. Walaupun dijana oleh AI, setiap elemen poster boleh diubah suai kerana adalah objek vektor seperti karya Illustrator yang lain.
Bukan itu sahaja karya yang dijana kemudian boleh diubah untuk saiz kanvas berbeza. Dengan ciri Layout Variation, poster yang dihasilkan kemudiannya boleh diubah untuk saiz di Instagram, kain rentang, kain gegantung dan imej pemuka di Facebook juga secara automatik.
Selain itu terdapat juga ciri Generate Layout dimana sebuah karya yang dihasilkan dalam Illustrator boleh diubah untuk meniru gaya gambar yang menjadi inspirasi. Dengan hanya satu butang kesemua elemen dalam poster asal diubah untuk mengikut gaya gambar rujukan yang dimuat naik pengguna.
Ciri Project Remix A Lot dibangunkan untuk mereka yang tidak mempunyai masa untuk melakukan tugasan menghasilkan poster atau tidak mempunyai kepakaran untuk melakukannya sendiri. Pada ketika ini Project Remix A Lot masih sekadar demo dan Adobe belum mengatakan bila ia akan diberikan pada produk sebenar.