Kami baru sahaja melaporkan bahawa menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo bahawa jumlah insiden godaman dan pencerobohan data di Malaysia telah meningkat hampir 1200 peratus pada tahun 2023.
Terkini, pihak polis telah mengumumkan bahawa mereka telah menjalankan sebuah operasi pada bulan lepas yang dinamakan Ops Kapas dan menangkap lima individu yang dipercayai dalang disebalik sebuah sindiket yang menjual data rakyat Malaysia ke arena web gelap.
Sindiket ini terdiri daripada empat rakyat Malaysia dan seorang penggodam berwarganegara Pakistan yang telah beroperasi selama kira-kira satu tahun. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, sebanyak 400 juta butiran peribadi rakyat Malaysia dijual pada nilai RM2 ataupun RM1.50 untuk setiap butiran data.
Sebuah laman web juga dilaporkan telah dibuka yang mengandungi butiran peribadi ini, dan boleh disewa pada harga RM200 ke RM800 setiap bulan bergantung kepada jumlah data yang diakses.
Individu-individu yang ditangkap ini termasuklah seorang penggodam yang merupakan warganegara Pakistan yang telah menetap di Malaysia selama 10 tahun, manakala empat individu lain semuanya warganegara Malaysia, yang terdiri daripada seorang pereka laman web, dua orang ejen dan seorang pengumpul hutang yang telah membeli data yang dicuri ini.
Laman web ini, yang dinamakan Query Smart Search telah dikesan oleh CyberSecurity Malaysia sebagai mengandungi data pelanggan yang didaftarkan kepada banyak perniagaan dan perkhidmatan kerajaan yang telah digodam.
Menurut pihak PDRM, ia dilaporkan bahawa diantara data yang terkandung didalam laman web tersebut termasuklah nama, nombor MyKad, alamat rumah, nombor telefon dan nombor akaun bank.
Malah, Datuk Seri Ramli mengatakan bahawa kebanyakan individu yang membeli akses kepada laman web ini dan juga data yang terkandung didalamnya juga merupakan pengumpul hutang tidak berlesen yang mungkin mahu mencari butiran penghutang seperti nombor telefon dan juga alamat rumah ataupun pejabat.
Apabila ditanya sekiranya terdapat elemen duri dalam daging, Datuk Seri Ramli mengatakan bahawa perkara tersebut sedang disiasat buat masa ini.