Seperti yang dijanjikan, Samsung dilihat memperkenalkan peranti Galaxy baharu pada hari ini. Ia dikenali sebagai Samsung Galaxy Z Fold 6 Special Edition dengan sejumlah tarikan menarik berbanding model asal diberikan untuk kali ini.
Misalnya seperti tubuh lebih nipis dengan ketebalan 10.6mm dan berat kira-kira 236 gram. Skrin dalam juga dinaiktaraf yang kini sebesar 8-inci bernisbah aspek 20:18, sementara itu skrin luar pula sebesar 6.5-inci yang bernisbah aspek 21:9. Ia menjadikan saiz skrin paling luas pernah dihasilkan Samsung untuk peranti dalam siri Galaxy Fold Z setakat ini.
Buat kali pertama juga kamera besar 200MP digunakan dalam siri Galaxy Z Fold, yang turut dilengkapi OIS untuk pengalaman lebih baik. Ini dipadankan pula dengan kamera ultra lebar 12MP (autofokus) dan telefoto 10MP sehingga 3X optikal. Pada skrin dalam terdapatnya kamera swafoto 4MP bawah skrin dan skrin luar pula menempatkan kamera swafoto 10MP dalam lubang yang kecil. Kamera utama juga menyokong rakaman video 8K 30fps.
Ciri utama lain yang masih dikekalkan adalah cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy yang menjana peranti. Selain itu menawarkan pilihan memori 16GB RAM, storan dalaman 512GB dan perisian terkini One UI 6.1 berasaskan Androd 14 dengan AI. Bateri 4,400mAh disertakan boleh dicas melalui pengecasan 25W dan nirwayar 15W. Samsung melengkapkan lagi peranti dengan pengimbas cap jari sisi, e-SIM, rangkaian 5G, Wi-Fi 7, Bluetooth 5.3, NFC dan UWB. Harga jualan adalah KRW 2,789,600 (~RM8,759).
Untuk makluman semua, Galaxy Z Fold6 turut sedia ditawarkan secara rasmi di Malaysia. Harga jualan adalah bermula RM7,299 (256GB), RM7,899 (512GB) dan RM9,099 (1TB) melalui kesemua pengedar sah Samsung di seluruh Malaysia.