Worldcoin Kini Adalah World, Orb Baharu Untuk Pengesahan Pengguna Adalah Manusia Dilancarkan
Fahim Zahar
Worldcoin kini telah dijenamakan sebagai World dan Orb baharu telah diperkenalkan bersama-sama dengan satu perkhidmatan baharu. Apa itu World? Ia adalah sistem pengesahan pengguna adalah manusia untuk era kecerdasan buatan. Ia menggunakan data biometri mata pengguna untuk mendapatkan World ID untuk membuktikan kemanusiaan sendiri.
Orb baharu yang diperkenalkan adalah peranti mengimbas baharu yang lebih mudah dan murah untuk dibangunkan. Ia turut menggunakan kurang 30% komponen berbanding Orb asal. Orb ini turut dilengkapi dengan sistem robotik Nvidia dan bebola pengesahan identiti baharu ini diharapkan dapat ditawarkan secara meluas.

Pada masa yang sama, World turut melancarkan Orb on Demand (OoD) untuk memberi akses pengesahan identiti yang lebih fleksibel. Setiap pengguna yang telah mengimbas mata masing-masing akan menerima mata wang kripto WLD. Sehingga kini, sebanyak 7 juta pengguna telah disahkan adalah manusia sebenar. Di Malaysia, MIMOS akan mengintegrasikan World ke infrastruktur digital Malaysia.

World walaupun nampak menarik, ia dilanda kontroversi mengenai privasi dan penyimpanan data biometri pengguna. Disebabkan isu ini pengumpulan data di Portugal, Sepanyol, Hong Kong dan Kenya telah dihentikan. Sementara itu siasatan telah dimulakan pihak berkuasa data peribadi di UK, Perancis dan Korea Selatan mengenai keselamatan data pengguna Worldcoin.
[sumber] World [/sumber]