Amazfit Up Open-Ear Diumumkan Dengan Rekaan Seakan Subang – Berharga RM159
Amy Maizuraa
Pasaran fon telinga terbuka dimeriahkan lagi dengan pelbagai konsep menarik, dan itulah realiti yang dihadapi oleh pemain industri teknologi dalam memastikan produk dikemaskini seiring keperluan zaman. Misalnya seperti fon telinga dengan rekaan subang yang dibangunkan bagi kekal peka terhadap keadaan sekeliling meskipun sedang mendengar muzik.

Terbaharu Amazfit Up Open-Ear telah diumumkan dengan konsep yang sama seperti subang apabila digunakan di telinga. Ia menggunakan algoritma AI untuk mengurangkan bunyi hingar lalu meningkatkan audio menjadi lebih jelas. Ia juga boleh disambungkan pada jam tangan Amazfit terpilih bagi tujuan berinteraksi dengan pembantu maya Zepp Flow untuk pelbagai fungsi lain. Misalnya seperti melaraskan tetapan jam tangan atau menghantar mesej menggunakan arahan suara daripada fon telinga ke peranti Android.

Tambatan pantas boleh dilakukan melalui Bluetooth 5.3 yang juga menyokong sambungan pintar dwi-peranti secara serentak. Bateri disertakan mampu bertahan sehingga 6 jam lalu meningkat 18 jam pula dengan bantuan pod pengecas. Pengecasan semula boleh dibuat melalui port USB-C dalam masa sekitar dua jam. Harga jualan rasmi ialah RM159 dengan ketersediaan melalui Amazfit Malaysia.