Sebuah Kad Grafik NVIDIA GeForce RTX 5090 Diaktifkan Di Kilang Indonesia
Nazrin
NVIDIA dijangka akan memperkenalkan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090 mereka sewaktu acara ucaptama Jensen Huang di acara CES 2025 yang akan berlangsung di Las Vegas pada awal Januari 2025. Model kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090 dan GeForce RTX 5080 mungkin akan diperkenalkan sewaktu acara tersebut.
Terkini, terdapat sebuah video yang sedang tersebar di arena internet yang memperlihatkan sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090 diaktifkan untuk tujuan ujian. Perkara ini bukanlah sesuatu yang aneh, tetapi sebelum ini, kebanyakan ujian kad grafik yang dilakukan adalah di kilang-kilang di China.
Pada video ini pula, lain ceritanya kerana menurut butiran yang diberikan melalui pelbagai sumber dan laporan, ujian kad grafik ini dilakukan didalam sebuah kilang di Indonesia. Secara khusus, nampaknya ZOTAC, sebuah jenama komponen dan aksesori PC terkemuka telah membuka sebuah kilang di pulau Batam, dan kini sedang menguji kad grafik yang akan ditawarkan oleh mereka.
Setakat ini, tidak banyak butiran yang diketahui mengenai kad grafik ini, tetapi ia dilihat mempunyai rekaan menyerupai kad grafik siri ZOTAC Gaming mereka yang hadir dengan tiga buah kipas. Menariknya juga ialah kad grafik ini dilihat menggunakan satu kabel sahaja, iaitu mungkin kabel kuasa 16-pin 12VHPWR, ataupun mungkin kabel 12V-2×6 yang lebih baru.