JAC T9 EV Akan Mula Dijual Seawal 2025 – Pikap Elektrik Pacuan 4 Roda Pertama Di Malaysia
Ikhwan Nazri
Suku terakhir industri automotif tempatan nampaknya semakin rancak dengan pelbagai pengenalan kenderaan baharu, dan tidak merangkumi kenderaan penumpang semata-mata. Hari ini JAC Motors telah melancarkan pikap elektrik pacuan empat roda JAC T9 yang akan dijual di bawah harga RM 200,000 untuk 100 tempahan pertama dan sekarang sedang dibuka tempahannya.


Pikap elektrik pacuan 4 roda ini mempunyai dua motor elektrik di bahagian hadapan dan belakang, dengan motor hadapan dapat memberikan kuasa 70 Nm tork dan motor belakang dapat memberikan kuasa 150 Nm. Gabungan kedua motor ini memberikan tork tertinggi 516 Nm membolehkan pecutan 0-100km/j sepantas 8.4 saat dengan kelajuan tertinggi 140 km/j.
Ia mempunyai bateri sebesar 88 kWh dengan jarak perjalanan sejauh 340km WLTP dan pengecasan AC 11 kW yang membolehkan pengecasan 15%-100% sekitar 6 jam 50 minit, atua pengecasan pantas DC 88kW membolehkan pengecasan 30-80% sepantas 35 minit.


Sebagai pikap elektrik, JAC T9 EV turut mempunyai pelbagai ciri keselamatan dan keselesaan buat penumpang antaranya bumbung lutcahaya, pengesan sudut titik buta (blindspot detection), paparan pemanduan digital, sistem inforia dengan paparan 10.4-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, saluran pendingin hawa untuk penumpang belakang dan bermacam lagi. Trak elektrik ini turut dilengkapi dengan fungsi swapandu tahap 2 seperti pembrekan kecemasan automatik, Lane Keeping Assist, Intelligent Cruise Assist, dan lain-lain.



Buat masa ini harga Pikap elektrik JAC T9 EV ini tidak diumumkan, namun pihak JAC telah mula membuka tempahan untuknya dan turut menyatakan pikap ini akan dijual di bawah harga RM 200,000 untuk 100 pembeli terawal sebelum akhir tahun ini. Pikap elektrik ini juga akan ditawarkan dengan jaminan selama 6 tahun atau jarak perbatuan 200,000KM. Pihak JAC Motors turut menyatakan versi T9 PHEV akan ditawarkan seawal suku kedua tahun 2025.
