Semalam secara mengejut ASUS ROG Phone 9 diperlihatkan ketika acara Snapdragon Summit di Hawaii. Saya bernasib baik kerana dapat memegang peranti ini dan ini ialah pendapat saya mengenai peranti yang dilancarkan pada bulan Oktober depan.
Pertama harap maaf saya hanya dibenarkan berkata peranti ini dilengkapi cip Snapdragon 8 Elite kerana wakil ASUS mengatakan spesifikasi lai peranti perlu dirahsiakan sebelum ia dilancarkan. Yang boleh disahkan ialah, dua model akan dilancarkan dan ia akan dilengkapi dengan perkakasan kelas mercu bagi sebuah peranti gaming.
Dari sudut rekaan ia tidak jauh berbeza dengan ROG Phone 8. Skrin bersaiz besar dengan sokongan kadar segar semula yang tinggi. Ini adalah perlu kerana peranti gaming harus menyokong kadar segar semula yang lebih tinggi berbanding peranti biasa. Pengimbas cap jari turut diletakkan di bawah skrin dengan lokasinya cukup tinggi bagi memudahkan proses nyahkunci.
Di bahagian bawah pula terdapat bicu audio 3.5mm, talam SIM, kekisi pembesar suara dan port pengecasan. Di bahagian kanan pula diletakkan butang kuasa serta butang laras audio. Sebuah lagi port pengecasan USB-C diletakkan di bahagian kiri peranti bagi membolehkan peranti dicas walaupun dalam kedudukan mendatar.
Panel belakang diperbuat daripada bahan polikarbonat dengan kemasan yang terasa seakan batu granit yang kasar. Kemasan ini dipilih kerana ia tidak licin sekaligus memastikan peranti tidak akan terlepas daripada tangan apabila sedang digunakan untuk sesi permainan yang cemas.
Bonggol kamera masih lagi mempunyai rekaan dengan lima sisi. Terdapat tiga kamera di belakang tetapi seperti saya telah katakan di atas saiz sensor tidak boleh dinyatakan pada waktu ini. Sebagai sebuah peranti mercu saya tahu kamera mungkin tidak diberikan kepentingan tetapi diharapkan dapat dipertingkatkan berbanding konfigurasi 50+13+5 MP tahun lalu.
Perubahan besar terletak pada skrin dot-matrix di bahagian belakang. Tiada lagi lampu RGB pada peranti prototaip yang sama saya gunakan. Ia panel empat segi yang memaparkan tahap bateri dan juga boleh diprogramkan untuk memaparkan mesej peribadi oleh pengguna. Dengan penggunaan cip Snapdragon 8 Elite, ROG Phone 9 menyokong memori LPDDR5X dan storan UFS 4.0. Ini akan memastikan ia akan dapat menjalankan permua pada tetapan tertinggi.
Dalam penggunaan selama 15 minit, saya sedari skrin lancar dan peranti tidak terasa panas ketika digunakan. Perisian juga beroperasi dengan baik walaupun masih di peringkat prototaip. Salah sebuah peranti yang turut diperlihatkan menunjukkan rekaan dalaman. Dua bateri digunakan dengan ia mengepit cip Snapdragon 8 Elite di tengah-tengah. Susunan yang agak unik ini adalah bagi memudahkan peranti disejukkan menggunakan aksesori AeroActive Cooler.
Ini sahaja pendapat awal saya mengenai ROG Phone 9. Pandangan lebih mendalam akan saya cuba lakukan selepas ia dilancarkan bulan depan.