Snapdragon Cockpit Elite dan Snapdragon Ride Elite Diumumkan Untuk Kenderaan Pintar
Effi Saharudin
Pagi ini cip Snapdragon Cockpit Elite dan Snapdragon Ride Elite pula diumumkan untuk digunakan pada kenderaan pintar semasa. Seperti Snapdragon 8 Elite, Snapdragon Cockpit Elite dan Snapdragon Ride juga dilengkapi CPU Oryon generasi kedua. Dengan pelancaran kedua-dua cip ini, Qualcomm ini menguasai pula pasaran automotif menerusi platform Snapdragon Digital Chassis mereka.

Cockpit Elite dan Ride Elite dibangunkan bagi memenuhi keperluan kenderaan semasa yang memerlukan bukan sahaja sistem hiburan pintar tetapi pelbagai sensor terbina untuk kawalan sistem dalam kabin dan pelbagai sensor serta kamera untuk sistem ADAS kenderaan.
CPU Oryon misalnya memberikan peningkatan prestasi sehingga 3X berbanding CPU terdahulu. Ia sekali lagi dipadankan dengan GPU Ardeno yang memberikan peningkatan grafik sehingga 3X dan NPU pula memberikan peningkatan sehingga 12X berbanding cip terdahulu. Secara keseluruhan Cockpit Elite boleh menyokong sehingga 16 paparan resolusi tinggi di dalam kokpit kenderaan.

Ride Elite pula berfungsi sebagai otak sistem ADAS kenderaan kerana boleh menyokong sehingga 40 sensor yang digunakan sesebuah kenderaan. Ini termasuk 20 kamera resolusi tinggi di luar dan dalam kokpit bagi memberikan pemandangan 360 darjah.

Pelanggan yang menggunakan kombinasi cip ini turut boleh mengakses Qualcomm AI Hub untuk menggunakan pelbagai model AI di pasaran. Pada waktu yang sama pelanggan turut boleh menggunakan data tersendiri untuk juga melatih model tersendiri.
Kedua-dua Snapdragon Cockpit Elite dan Ride Elite akan mula ditawarkan kepada pelanggan bermula 2025. Antara pelanggan yang akan menggunakan cip terkini ini ialah Mercedes Benz dan Li Auto.
