Carian
Anthropic Turut Hadir Dengan Model AI Membuatkan Peranti Fizikal AI Tidak Diperlukan
October 23, 2024 • Fahim Zahar

Siapa di antara pembaca Amanz yang menyangkakan peranti fizikal AI adalah peranti harian anda yang seterusnya dan bukannya telefon pintar dengan AI? Nampaknya idea peranti fizikal AI terus menjadi semakin tidak relevan dengan kini Anthropic turut hadir dengan model baharu yang boleh mengawal komputer pengguna.

Menurut Anthropic, model baharu mereka adalah algoritma generasi seterusnya untuk AI mendidik diri sendiri. Model Claude 3.5 Sonnet baharu telah dikemaskini dengan API Computer Use. Dengan model baharu ini ia boleh mimik kekunci yang ditekan, tetikus yang digerakkan dan mempelajari gaya penggunaan komputer oleh pengguna untuk ia menjadi pembantu peribadi maya yang lebih tersuai dengan pengguna sendiri.

Model ini secara asasnya mengira piksel pergerakan pengguna, kemudian mengambil tangkapan layar skrin untuk memahami kandungan sebelum ia memproses prom pengguna untuk melakukan tugasan seterusnya. Contoh yang diperlihatkan adalah melengkapkan dokumen Microsoft Excel dengan mencari sendiri maklumat di web dan mengisinya dalam dokumen tadi. Walau bagaimanapun dalam ujian Anthropic sendiri, model ini hanya boleh mimik sekitar separuh aktiviti pengguna dan belum sedia menggantikan pekerjaan manusia.

Model baharu ini turut dikenali sebagai Large Action Model oleh sesetengah syarikat AI lain. Anthropic menggunakan terma sama dengan Honor iaitu AI Agent. Buat masa ini, ia terhad untuk diuji oleh pembangun melalui platform Amazon Bedrock dan Google Cloud Vertex AI. Untuk pengguna biasa, model Claude 3.5 Sonnet yang lebih berkuasa tanpa API Computer Use kini boleh digunakan.

Komen