Kerjasama Klook Dan Google Cloud Memperkayakan Pengalaman Percutian Dengan AI
Nazrin
Salah satu masalah terbesar apabila anda cuba untuk merancang percutian, tidak kira untuk diri anda ataupun untuk keluarga dan rakan-rakan ialah memilih tempat penginapan dan juga aktiviti-aktiviti untuk percutian tersebut.

Klook, salah satu daripada platform merancang percutian terbesar di Asia baru-baru ini telah berucap di acara Let’s Talk AI oleh Google tentang kerjasama mereka tentang bagaimana mereka menggunakan teknologi kecerdasan buatan untuk memajukan aplikasi mereka untuk memperbaiki dan memudahkan pengalaman pelanggan di aplikasi tersebut.

Untuk para pelanggan, Klook mengumumkan bahawa mereka akan tampil dengan ciri-ciri menarik seperti rumusan ulasan menggunakan AI pada aplikasi tersebut, yang dilihat cukup berguna untuk tempat penginapan dan aktiviti-aktiviti yang mempunyai beratus ataupun beribu ulasan. Ciri ini dilihat dapat membantu pengguna menjimatkan masa membaca ulasan yang banyak, dan membantu mereka membuat keputusan untuk membeli atau tidak dengan cepat.

Satu lagi ciri baru yang akan diperkenalkan ialah ciri perbandingan yang membolehkan pengguna untuk membandingkan dua atau lebih aktiviti atau tempat penginapan yang juga boleh digunakan untuk membolehkan pelanggan Klook untuk membuat pilihan dengan lebih cepat dan mudah.
Penuras aktiviti Klook juga dikemaskini menggunakan kecerdasan buatan, dimana mereka memanfaatkan teknologi Vertex AI dan Gemini 1.5 untuk membantu aplikasi tersebut menjawab soalan-soalan ringkas mengenai tempat tinggal ataupun aktiviti-aktiviti yang dipilih.

Menggunakan ciri ini juga cukup mudah. Selepas memilih senarai aktiviti ataupun tempat penginapan yang anda mahukan, terdapat satu ikon yang boleh ditekan untuk membolehkan anda membuat satu senarai baru untuk membandingkan lokasi ataupun aktiviti-aktiviti yang dipilih.
Dari segi perbualan dengan pemilik tempat penginapan ataupun aktiviti, jika anda sedang cuba untuk menempah di negara ataupun lokasi dimana anda tidak bertutur bahasanya, Klook kini juga menggunakan Gemini 1.5 untuk menterjemah sebarang pertanyaan dan jawapan anda dalam bahasa negara tersebut secara automatik.

Ciri-ciri seperti rumusan ulasan dan juga senarai pembandingan tempat penginapan dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi, seawal November 2024. Di masa akan datang, Klook juga mungkin akan memperkenalkan ciri cadangan jadual perjalanan berdasarkan sejarah aktiviti dan tempat penginapan anda berdasarkan sejarah penginapan dan pembelian aktiviti-aktiviti anda sebelum ini.