GoPay Memperkenalkan Pembantu AI Dira Yang Memahami Pertuturan Dalam Bahasa Indonesia
Nazrin
GoPay merupakan sebuah aplikasi kewangan di Indonesia dibawah syarikat GoTo (gabungan Gojek dan Tokopedia) yang merupakan dompet digital yang memudahkan rakyat Indonesia untuk menggunakan teknologi kewangan harian dengan lebih mudah.
Sebagai sebuah aplikasi kewangan digital, GoPay telah dilancarkan pada tahun lepas dan setakat ini, mengatakan bahawa ia telah dimuat-turun sebanyak 30 juta kali di Indonesia.

Walaupun aplikasi ini hadir dengan saiz muat-turun yang kecil, ia boleh dimanfaatkan dalam pelbagai cara, seperti kebolehan untuk menghantar dan menerima wang dari mana-mana bank tempatan, pembelian dan pembayaran data mudah-alih dengan mudah dan kebolehan untuk mengeluarkan laporan penggunaan wang yang mudah difahami.
Hari ini, di acara Google Let’s Talk AI Asia Pacific, syarikat tersebut telah memperkenalkan beberapa kemaskini kepada aplikasi tersebut, yang utamanya ialah pembantu digital Dira yang dikuasakan oleh GoTo AI.

Keunikan Dira dalam konteks aplikasi GoPay ialah ia membolehkan pengguna Indonesia untuk mengakses pelbagai ciri-ciri aplikasi tersebut dengan cepat dan mudah dengan menggunakan arahan suara sahaja. Dira juga memahami kedua-dua bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia, menggunakan teknologi AI Gemini 1.5 Flash sebagai lapisan bahasa dan juga pemahaman konteks arahan dalam bahasa tersebut.

Selain daripada itu, penggunaan GoTo AI yang dibangunkan dengan menggunakan Vertex AI, dan ini membolehkan GoPay untuk memperkenalkan ciri-ciri seperti pemisahan bil secara automatik menggunakan kamera dan AI, pelbagai jenis pembayaran melalui aplikasi dan penghantaran dan penerimaan wang.
Buat masa ini, nampaknya aplikasi GoPay hanya ditawarkan untuk rakyat Indonesia terlebih dahulu, kerana mereka mahu memastikan bahawa secara khusus, rakyat negara tersebut yang tidak menggunakan perkhidmatan bank tradisional dapat menggunakan aplikasi mereka dengan baik terlebih dahulu.

Mungkin di masa akan datang, GoPay akan ditawarkan untuk rakyat-rakyat Indonesia yang bekerja di luar negara, dan ini secara langsung akan memudahkan mereka untuk memindahkan wang dari akaun bank ke aplikasi tersebut, dan ahli keluarga di kampung halaman.