Menteri: Pejabat AI Kebangsaan Akan Dibuka Disember Ini Dengan Beberapa Fokus Menyeluruh
Ikhwan Nazri
Pada September yang lalu Menteri Digital, Gobind Singh Deo telah mengumumkan mengenai penubuhan Pejabat AI Kebangsaan yang akan merangka ekosistem AI di Malaysia. Hari ini sewaktu ucapan perasmian acara Malaysia Digital Xceleration, beliau telah berkongsi sedikit kemaskini berkenaannya, dimana Pejabat AI ini akan mula beroperasi seawal Disember tahun ini.

Dan dalam ucapan ini juga Gobind turut menyatakan Pejabat AI Kebangsaan ini akan memfokuskan kepada pembangunan algoritma, pemprosesan bahasa untuk kegunaan peribadi, sekuriti untuk AI serta pemeliharaan privasi data. Malah kewujudan Pusat AI Kebangsaan ini juga berlandaskan 5 aspek meliputi penjagaan, pengurusan, penguatkuasaan, pemantuan dan inovasi dalam industri dataraya.
Pusat AI Kebangsaan akan berada dibawah seliaan MyDigital Corporation dan buat masa ini tiada maklumat lanjut mengenainya. Namun dengan pengumuman dari Belanjawan 2025 yang turut memfokuskan AI dan memperuntukkan RM 10 juta, sama-sama kita nantikan lebih banyak informasi berkenaan Pusat AI Kebangsaan ini.