AFM Fulfillment Lancar Pengurusan Gudang Pintar
Amy Maizuraa
Dalam dunia serba moden hari ini, ditambah pula dengan perkembangan teknologi yang pesat telah mempengaruhi hampir semua aspek kehidupan manusia. Dengan memanfaatkan teknologi terkini juga membawa perubahan kepada proses pengurusan pergudangan sedia ada dan mencipta perkhidmatan baharu serta peningkatan kecekapan dalam perkhidmatan.

Hal ini dikatakan demikian kerana sebuah syarikat tempatan, AFM Fulfillment hari ini melancarkan pengurusan gudang pintar melalui penggunaan robot. Ia digunakan untuk bantu melaksanakan tugas tertentu bersama tenaga manusia yang minima.

Ia termasuklah proses menyimpan dan menghantar barangan logistik apabila melalui peringkat proses pengurusan rantaian bekalan. Robot ini telah direka dalam saiz sederhana dan mudah alih untuk mengautomasikan pergerakan barangan logistik, menjadikannya sesuai untuk gudang dengan susun atur dinamik.


Menurut wakil AFM Fulfillment berkata, sehingga ini sebanyak 8 buah robot dihasilkan dan dilihat bantu memaksimumkan produktiviti tanpa meningkatkan masa operasi. Ia juga sangat membantu terutamanya dalam meningkatkan jumlah penghantaran gudang secara drastik, di samping menjadikan aliran kerja lebih terarah serta proses mendapatkan hasil menjadi lebih baik.


Menurut beliau lagi, robot ini boleh berfungsi selama lapan jam sebelum ia kembali secara automaik ke dok khusus untuk proses pengecasan semula. Kebiasannya setiap robot akan dicas semula apabila bateri di tahap 40% dan amaran khusus diberikan kepada sistem yang sepatutnya. Turut dimuatkan adalah pelbagai sensor dan algoritma kawalan yang memungkinkan untuk memantau serta membetulkan proses operasi dengan cepat.

Ia termasuk melaraskan laluannya, mengelakkan halangan dan mengoptimumkan laluan penghantaran secara masa nyata. Sistem digunakan juga menyokong penghantaran pusat dengan sokongan berbilang mesin dalam memastikan operasi teratur walaupun dalam persekitaran berskala besar. Selain itu direka untuk mengangkat beban dengan kapasiti muatan kira-kira 800kg.



Turut difahamkan bahawa setakat ini tiada perancangan untuk ditawarkan kepada pihak luar sebaliknya hanya digunakan dalam gudang milik AFM Fulfillment sendiri. Bagi perancangan masa hadapan, AFM Fulfillment menyasarkan untuk dapat menjalinkan kerjasama strategik dengan kementerian, agensi dan pemegang taruh dalam pembangunan usahawan akan datang. Seterusnya bantu pertumbuhan ekonomi domestik lalu melahirkan lebih ramai usahawan di Malaysia.