Siri Oppo Find X8 Kini Rasmi Dengan Cip Dimensity 9400 Dan Sistem Kamera Hasselblad
Amy Maizuraa
Oppo telah mengumumkan telefon mercu baharu siri Find X8 di China. Ia menawarkan padanan spesifikasi terkini bersama rekaan dengan kelas tersendiri. Khususnya untuk model Find X8 yang dilihat mampu memenuhi keperluan pengguna yang gemar kepada peranti minimalis kompak. Berikut dikongsikan spesifikasi penuh kedua-dua peranti berkenaan.

Oppo Find X8 dilengkapi dengan skrin rata OLED LTPO 6.59-inci beresolusi FHD+, kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak sehingga 4500nits. Ini dipadankan dengan cip Mediatek Dimensity 9400, memori sehingga 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 1TB UFS 4.0. Selain turut menjalankan perisian ColorOS 15 berasaskan Android 15 dengan penekanan terhadap beberapa perkara termasuk ikon lebih kemas, prestasi sistem dipertingkatkan dan kecanggihan teknologi AI.

Find X8 mempunyai tri-sensor 50MP untuk utama (Sony LYT-700), ultra lebar 15mm (ISOCELL JN5) dan telefoto (IMX882) sehingga zum optikal 3X/digital 120X. Ia juga menggunakan sistem kamera Hasselblad dengan OIS terbina. Sementara itu kamera swafoto pula sebesar 32MP dengan sensor Sony IMX615. Antara ciri lain yang boleh ditemui ialah bateri berkapasiti 5630mAh, pengecasan berwayar 80W, pengecasan nirwayar 50W, pengimbas cap jari di skrin, pembesar suara stereo (Dolby Atmos) dan kalis air IP68/IP69.

Oppo Find X8 Pro pula menggunakan skrin AMOLED BOE 1.5K melengkung 6.78-inci dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 4500nits. Ini dipadankan kaca pelindung OPPO Crystal Shield di bahagian hadapan dan belakang. Cip Mediatek Dimensity 9400 turut digunakan sebagai tunjan utama dengan memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman 1TB UFS 4.0. Perisian terkini ColorOS 15 berasaskan Android 15 dengan penekanan terhadap ikon lebih kemas, prestasi sistem dipertingkatkan dan kecanggihan teknologi AI turut melengkapinya.

Menariknya apabila model Pro juga menawarkan butang kamera khusus yang dipanggil sebagai “Quick Button”. Ia boleh digunakan untuk mengaktifkan aplikasi kamera dengan hanya menekan sebanyak dua kali. Selain turut berfungsi mengubah bukaan apertur dan kawalan zum dengan ia boleh mengesan sentuhan. Diikuti satu lagi butang Alert Slider yang sebelum ini turut pernah digunakan pada siri Find N3.
Sistem kamera utama dilengkapi kuad-sensor 50MP dengan keupayaan sudut ultra lebar (15mm), sudut lebar (23mm), potret (Hasselblad), telefoto periskop (135 mm) sehingga zum optikal 6X/ digital 120X. Bateri pula sebesar 5910mAh yang boleh dicas melalui pengecasan pantas berwayar 80W dan nirwayar 50W. Lain-lain spesifikasi termasuk pengimbas cap jari di skrin, pembesar suara stereo (Dolby Atmos), inframerah dan kalis air IP68/IP69.

Harga jualan di China bermula RMB 4199 (~RM2,563) (12/256GB) untuk Find X8 dan bermula RMB 5299 (~RM3,234) (12/256GB) untuk Find X8 Pro. Peranti-peranti ini turut disahkan bakal diperluaskan ke pasaran global dan boleh dianggap menarik memandangkan memandangkan kali terakhir Oppo menawarkan siri Find X secara global adalah pada tahun 2022 melalui siri Find X5.