Prudential Menggunakan AI Generatif Untuk Memudahkan Proses Tuntutan Insurans Perubatan
Nazrin
Bergantung kepada jenis insurans yang digunakan, tuntutan untuk bayaran tersebut kadang-kala boleh memakan masa yang lama. Menyedari bahawa perkara ini merupakan satu isu yang membelenggu ramai orang, Prudential telah mengumumkan kerjasama bersama Google Cloud untuk memperkenalkan sebuah teknologi AI yang meningkatkan ketepatan dan kecekapan keputusan tuntutan insurans perubatan.

Prudential merupakan salah satu penyedia insurans pertama di dunia yang menggunakan MedLM – salah satu keluarga model AI Google yang dioptimumkan untuk kegunaan industri penjagaan kesihatan dan organisasi kesihatan untuk membangunkan penyelesaian bagi doktor, hospital, dan penyedia perubatan lain dalam usaha memperbaiki pengalaman pekerja kesihatan dan pesakit.
Bermula di Malaysia dan Singapura, Prudential akan menggunakan MedLM untuk menganalisa dokumen yang disertakan bersama tuntutan insurans kesihatan seperti laporan diagnostik, preskripsi, dan juga invois. Ini adalah kerana bagi Prudential, kedua-dua pasaran ini merupakan pasaran dengan skala pelanggan yang terbaik untuk mereka menguji keberkesanan penggunaan teknologi AI dalam proses pengautomasian tuntutan insurans ini.
MedLM menyokong proses membuat keputusan manusia dengan keupayaannya untuk mengekstrak maklumat yang relevan dari laporan yang dikeluarkan, dan mengkodkannya dengan tepat untuk tujuan tuntutan insurans, membantu mengurangkan potensi kesilapan akibat kemasukan data manual, supaya tuntutan dapat diproses dengan lebih cepat dan tepat.

Pengumuman ini dibuat susulan beberapa ujian bukti konsep oleh Prudential yang menunjukkan bahawa penggunaan MedLM telah mempercepatkan proses semakan dan penilaian tuntutan, serta meningkatkan ketepatan keputusan tuntutan. Ini membolehkan syarikat insurans menangani jumlah tuntutan yang besar dengan cepat dan jitu, dan ini dilihat telah memperbaiki pengalaman pelanggan secara keseluruhan.
Prudential akan menerapkan MedLM untuk tuntutan insurans perubatan terpilih di Singapura dan Malaysia dalam tempoh 3-4 bulan akan datang. Mereka kemudiannya akan membandingkan analisa serta saranan AI dengan keputusan sebenar menggunakan proses kelulusan semasa.
Langkah ini akan membantu Prudential mengenal pasti bidang di mana MedLM dapat memberikan peningkatan produktiviti terbesar dan saranan yang paling berguna kepada penilai tuntutan, sambil mengekalkan “unsur manusia” dalam tahap kritikal proses membuat keputusan.