Spesifikasi Kamera Hasselblad OnePlus 13 Didedahkan Secara Rasmi
Fahim Zahar
OnePlus 13 adalah satu lagi peranti mercu Android yang akan dijana dengan cip Snapdragon 8 Elite. Peranti ini turut akan menyokong ciri pengecasan magnetik sama dengan Oppo Find X8, kekal menggunakan kamera Hasselblad dan mempunyai ciri AI lebih berkuasa melalui OxygenOS 15. Terbaru, spesifikasi kamera peranti ini didedahkan secara rasmi.

OnePlus 13 nampaknya masih mengekalkan penggunaan kamera 50MP, cuma kini dengan sensor sudut lebar Sony LYT-808, dan dipadankan dengan dua lagi kamera 50MP untuk sudut ultra-lebar serta telefoto. Kamera telefoto kali ini tidak lagi menggunakan rekaan periskop, sebaliknya menggunakan rekaan dwi-prisma agar ia boleh dimuatkan dalam tubuh peranti yang lebih nipis dan kompak.
OnePlus turut berkongsi yang sensor kamera telefoto adalah 33% lebih kecil dengan bukaan lensa f/2.6 serta sensor adalah berbentuk bulat dan bukannya petak seperti biasa. Sampel gambar turut diperlihatkan yang mana ia memelihara butiran yang lebih jelas, warna yang lebih dinamik dan hidup serta mempunyai kesan HDR yang nampak lebih kemas dan konsisten.

OnePlus 13 akan dilancarkan di China terlebih dahulu sebelum diperkenalkan untuk pasaran global. Buat masa ini harga jualan masih tidak didedahkan tetapi OnePlus memberitahu spesifikasi paling tinggi adalah dengan memori 24GB RAM LPDDR5X + storan dalaman 1TB UFS 4.0.
[sumber] Weibo – Louis Lee [/sumber]