The Browser Company bagi yang tidak tahu adalah syarikat yang bertanggungjawab membangunkan pelayar web AI Arc (Arc Search untuk telefon). Ia menggunakan Chromium tetapi tidak menawarkan pengalaman penggunaan sama dengan Edge atau Chrome, sebaliknya ia lebih mudah digunakan dan mempunyai ciri AI yang boleh bantu mencari sesuatu. Akan datang, mereka ingin menawarkan pelayar web generasi baharu yang mengubah cara pengguna melayari web.
Arc dikatakan akan kekal, malah fasa seterusnya adalah Arc 2.0. Untuk pelayar web baharu ini, mereka inginkan ia dikuasakan AI sepenuhnya dan turut ingin pengguna bebas dari komputer. Masih tidak jelas apakah pelayar web ini tetapi ia dikatakan tidak sama seperti pelayar web biasa dan akan memudahkan pengguna. Mereka tidak ingin mengintegrasikan idea baru ini kepada Arc kerana pengguna Arc sudah selesa dan gembira.
Secara asasnya, Arc adalah pelayar web yang mengubah cara penggunaan tab untuk ia lebih kemas dan teratur. Sementara pelayar web baharu ini akan memberi pengalaman penggunaan yang lebih unik. Buat masa ini, The Browser Company sudah mempunyai beberapa prototaip tetapi mereka tidak mendedahkan apakah ia dan untuk apa. Sama-sama kita nantikan.