Skrin Pintar Apple Dijangka Hadir Dengan Rekaan Ikonik Seumpama iMac G4
Aman
Apple sedia diperkatakan sedang membangunkan sebuah peranti pintar baharu, iaitu skrin pintar untuk kegunaan di dalam rumah. Produk baharu Apple ini dijangka diperkenalkan seawal tahun hadapan, dan dikatakan tidak akan berharga tinggi seperti beberapa produk Apple lain.

Terbaru, melalui laporan Bloomberg, ia dikongsikan skrin pintar Apple ini akan turut membawa rekaan seumpama iMac G4 yang asal – sekaligus membawa kembali nostalgia kepada para peminat Apple. Dari segi skrin pula, ia akan membawakan rekaan segi empat sama – seumpama dua iPhone yang diletakkan bersebelahan.
Apple dijangka menawarkan pada harga murah, membolehkan para pengguna membeli beberapa peranti dan meletakkannya pada sudut berbeza di rumah dan bilik. Menggunakannya, peranti ini akan boleh mengakses Apple Intelligence dalam menjawab sejumlah pertanyaan, disamping akses kepada FaceTime, kalendar, nota, dan beberapa ciri multimedia lain.
Dengan perkembangan baharu ini, sama-sama kita nantikan seterusnya dalam arena skrin pintar ini daripada Apple, selain bagaimana pesaing lain turut akan memberikan reaksi untuk arena ini.