Indonesia Halang Jualan Siri iPhone 16 Kerana Apple Tidak Memenuhi Janji Pelaburan
Effi Saharudin
Minggu lalu kami laporkan Indonesia menghalang jualan siri iPhone 16 dan Apple Watch Series 10 kerana gagal memenuhi beberapa keperluan yang ditetapkan kerajaan. Pada hujung minggu lalu, Menteri Industri Gumiwang Kartasasmita berkata halangan jualan dilakukan kerana Apple tidak memenuhi janji melakukan pelaburan yang dilakukan beberapa tahun lalu.

Bagi membolehkan produk mereka dijual ke pasaran Indonesia, Apple berjanji melakukan pelaburan bernilai 1.71 trilion Rupiah (~RM 473 juta). Setakat ini Apple telah melabur sebanyak 1.48 trilion Rupiah (~RM 410 juta) sahaja. Oleh sebab itu Kementerian Industri tidak memberikan nombor IMEI yang diperlukan untuk peranti dijual di Indonesia secara rasmi. Menurut undang-undang Indonesia, syarikat asing wajib memenuhi keperluan 40% kandungan tempatan untuk beroperasi di dalam negara.
Gumiwang Kartasasmita turut berkata jika orang ramai melihat siri iPhone 16 digunakan di Indonesia, mereka boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil. Walaupun jualan secara rasmi dihalang, siri iPhone 16 masih dijual di Indonesia selepas ia dibawa masuk daripada negara jiran seperti Maaysia dan Singapura.
[sumber] Bloomberg [/sumber]