Poco C75 Hanyalah Redmi 14C Yang Dijenamakan Semula
Amy Maizuraa
Poco C75 ialah peranti baharu yang dilancarkan dengan spesifikasi kelas asas. Peranti ini turut boleh diihat sebagai sebuah Redmi 14C yang dijenamakan semula. Malahan hal ini terbukti apabila ciri, fungsi dan rekaan yang ditawarkan adalah sama sepenuhnya. Cuma berbeza dari sudut pilihan warna yang terdiri dengan Black, Gold dan Green.

Sekali lagi tiada perubahan spesifikasi dilakukan. Di mana skrin sebesar 6.88-inci Dot Drop Display digunakan dengan resolusi HD+ dan kadar segar semula 120H. Ini dipadankan dengan cip Helio G81-Ultra, memori sehingga 8GB RAM LPDDR4X, storan sehingga 512GB eMMC 5.1 dan perisian terkini Xiaomi HyperOS.

Sistem kamera terdiri dengan 50MP utama dan swafoto sebesar 13MP, di samping mempunyai bateri 5160mAh dengan pengecasan 18W. Tiada kepala pengecas disediakan dalam kotak pembelian. Lain-lain spesfikasi termasuk pengimbas cap jari sisi, bicu audio 3.5mm dan NFC. Harga jualan bermula $109 (RM475) (6/128GB) dan $129 (~RM562) (8/256GB) tanpa maklumat mengenai ketersediaan di Malaysia diketahui setakat ini.