Carian
China Kini Mempunyai Kenderaan Pengecas EV Dengan Kemampuan Swapandu
October 29, 2024 Effi Saharudin

China kini ialah kuasa besar dalam pengeluaran kereta elektrik (EV) dengan BYD misalnya memegang pasaran terbesar di Malaysia dalam tempoh masa cukup singkat. Peningkatan jumlah EV di Malaysia mula menimbulkan masalah stesen pengecas yang agak terhad. Walaupun China mempunyai infrastruktur pengecasan EV yang baik, ia masih belum 100% dapat memenuhi keperluan pelanggan ketika waktu puncak.

Oleh itu Wuling telah memperlihatkan kereta pengecas EV yang turut mempunyai kemampuan swapandu. Kenderaan yang diberi nama Mobile Energy Storage Charging Vehicle (MESCV) ini ditawarkan dengan kapasiti sehingga 141 kWh. Ini adalah kapasiti hampir tiga kali ganda bateri Tesla Model 3 paling asas.

MESCV ini telahpun diperlihatkan di Guangzhou minggu lalu dengan ia direka untuk memberikan bantuan kepada pengguna apabila EV mati di tengah jalan atau tidak ruang di stesen pengecas. Walaupun hadir dengan ciri swapandu, powerbank bergerak ini hanya boleh bergerak pada kelajuan maksimum 5 km/j. Wuling berkata MESCV akan dijual pada harga sekitar RM183,000 sebuah.

Komen