Anda Tidak Lagi Boleh Buang Peranti Android Pada Phone Link Dalam Windows 11
Fahim Zahar
Phone Link adalah ciri yang sangat membantu saya dalam tugasan harian. Peranti Android disambungkan pada peranti Windows 11 untuk kawalan lebih mudah. Misalnya sambungan hotspot, pemindahan fail, menyemak notifikasi, menjawab panggilan telefon dan membalas mesej atau untuk sesetengah peranti menjadi kamera web untuk telesidang.
Kemas kini baharu untuk Phone Link membuatkan saya marah dengan Microsoft kerana menyusahkan pengguna seperti saya yang mempunyai lebih dari satu peranti Android.

Phone Link pada Windows 11 kini tidak lagi membenarkan pengguna membuang peranti yang telah dipautkan. Ia menjadi masalah jika pengguna pernah memautkan dua peranti dan ke atas kerana kedua-dua peranti akan dikesan oleh komputer dan kerap bertanya ingin sambungkan peranti yang mana. Kemudian notifikasi juga akan menjadi bermasalah. Jalan penyelesaian sementara adalah untuk matikan ciri sambungan automatik.
Buat masa ini masih tidak pasti jika ini adalah “ciri” baharu atau pepijat dalam kemas kini Windows 11 24H2.