Lebih 2 Juta Akaun Yang Melanggar Polisi TikTok Shop Ditutup Secara Proaktif
Amy Maizuraa
TikTok Shop tidak hanya tempat untuk membeli-belah tetapi juga ruang yang memberi peluang kepada para penjual untuk mempromosikan perniagaan dengan berkesan. Lebih 42,000 jenama telah diberi kebenaran untuk mempamerkan dan menjual produk dalam TikTok Shop sehingga Julai 2024. Namun seiring meningkatnya jumlah transaksi di TikTok Shop, risiko penipuan juga dilihat semakin meruncing. Pelbagai modus operandi digunakan kumpulan terbabit untuk mengaut duit mangsa sehingga kosong.

Memaklumkan perkara itu, TikTok berkata pihaknya memberi tumpuan kearah mewujudkan komuniti selamat untuk pengalaman membeli belah yang boleh dipercayai. Antara langkah proaktif yang diambil termasuk melabur lebih daripada $500 juta untuk pelbagai proses, termasuk alatan dan teknologi baharu bagi mewujudkan persekitaran membeli-belah yang selamat dan selesa untuk pengguna. Dalam pada itu masih mengekalkan pelbagai bentuk dasar diperkenalkan sebelum ini kepada pembeli, penjual, pencipta serta produk untuk melindungi pasaran TikTok Shop.

Keadaan ini termasuklah mewajibkan semua penjual menyediakan dokumen rasmi untuk mengesahkan keaslian dan ketepatan maklumat peribadi masing-masing dalam mengendalikan perniagaan. Selain itu penjual baharu juga akan melalui tempoh percubaan sementara yang boleh digunakan untuk menilai kesesuaian barangan yang dijual dalam platform berkenaan. Hasilnya, sekitar 2 juta pendaftaran akaun ditolak oleh TikTok kerana dianggap lemah atau tidak memenuhi piawaian keselamatan. Selain itu, TikTok turut menolak lebih 20 juta pendaftaran produk sebelum disiarkan secara langsung atas alasan tidak memenuhi syarat seperti yang ditetapkan sebagaimana keperluan platform berkenaan.

TikTok turut mendedahkan lebih 2 juta akaun penjual telah dibekukan/ditutup disebabkan mereka telah melanggar salah satu garis panduan ditetapkan. Kesalahan ini mungkin mengiklankan barangan terlarang hingga menyalahgunakan platform TikTok Shop. Di samping itu, terdapat juga ciri khusus tertentu yang telah dialih keluar daripada lebih 500,000 pencipta kandungan disebabkan oleh ketidakpatuhan terhadap garis panduan komuniti atau terma perkhidmatan.
Turut disentuh dalam kajian ini ialah lebih 4,000 kedai telah ditutup secara kekal dan membatalkan kebenaran jualan lebih 30,000 pencipta kandungan kerana pelanggaran Hak Milik Intelektual (IPR). Kesalahan ini pada lazimnya berlaku apabila seseorang itu melakukan tindakan seperti menciplak, menggunakan atau menjual sesuatu karya hakcipta tanapa lesen daripada pemilik asal. Bukan itu sahaja malahan hampir 300,000 penstriman langsung turut ditapis kerana kebimbangan pelanggaran IPR. Di samping lebih daripada 5,000,000 produk telah dihalang daripada disiarkan secara langsung.

Hasil daripada dasar ini dan lain-lain, TikTok Shop telah menyaksikan penurunan sebanyak 17% dalam ulasan negatif secara purata merentas pasaran. Pada masa sama terus mengemaskini dan menyemak semula panduan pengguna yang sedia ada dari masa ke semasa agar sentiasa relevan, juga sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk memberikan ketelusan.
[info] Baca Laporan Penuh – TikTok Shop Safety Report [/info]