Siri cip pemprosesan AMD Ryzen 9000X3D dijangka akan dilancarkan pada 7 November hadapan, dan terkini, nampaknya butiran mengenai cip pemprosesan AMD Ryzen 7 9800X3D sudahpun tertiris ke arena web.
Menurut laporan daripada VideoCardz, cip pemprosesan tersebut nampaknya akan hadir dengan kelajuan asas 4.7GHz dan nilai lewahjam Boost Frequency setinggi 5.2GHz. Kedua-dua kelajuan ini boleh dilihat sebagai penambahbaikan daripada kelajuan asas dan Boost Frequency cip pemprosesan AMD Ryzen 7 7800X3D, tetapi mengekalkan nilai penggunaan kuasa TDP 120W yang sama.
Cip pemprosesan ini juga nampaknya akan menambahkan 64MB 3D V-cache dan akan memberikan CPU tersebut 96MB cache L3 yang cukup banyak untuk menambahkan prestasi gaming khususnya untuk mereka yang akan membina PC baru untuk tujuan gaming pada resolusi dan tetapan yang tinggi.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, AMD akan melancarkan cip pemprosesan ini pada 7 November kelak. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi samada AMD juga akan memperlihatkan cip pemprosesan lain dalam siri ini.