Fon Telinga Steelseries Arctis GameBuds Ditawarkan Di Malaysia Pada Harga RM899
Amy Maizuraa
Steelseries mengemaskini rangkaian produk di Malaysia dengan memperkenalkan Artis Gamebuds. Ia menjadi sebahagian fon telinga yang direka khusus untuk permainan. Pada masa sama serasi digunakan bersama konsol Xbox, PlayStation, Nintendo Switch, PC dan telefon pintar. Gabungan ciri-ciri yang praktikal seumpama kebanyakan fon telinga di pasaran turut digunakan pada Arctis GameBuds.

Ini termasuk rekaan fon jenis dalam telinga dengan putik silikon untuk keselesaan tambahan. Pengalaman menjadi lebih baik dengan adanya sokongan pembatalan hingar aktif (ANC) yang menggunakan empat mikrofon untuk menapis bunyi latar. Selain itu mempunyai Transparency Mode membolehkan pengguna mendengar muzik sambil masih peka terhadap keadaan sekeliling. Diikuti ciri audio 360 darjah untuk pengalaman audio maya daripada kesemua arah.


Arctis GameBuds dilengkapi pilihan sambungan menggunakan dongel WiFi 2.4GHz atau bluetooth 5.3. Dengan ini, pengguna boleh mendapatkan sambungan nirwayar dengan input yang pantas. Namun mereka tidak boleh mendengar input audio daripada kedua-dua sambungan secara serentak. Sebaliknya proses bertukar sambungan boleh dilakukan dengan mengetik butang khusus pada fon telinga sebanyak tiga kali.

Penggunaan bersama aplikasi Apl Arctis Companion turut disarankan untuk kawalan yang turut boleh disesuaikan. Arctis GameBuds juga melepasi penarafan IP55 bermakna kalis air dan habuk. Di samping boleh digunakan sehingga 40 jam dengan tambahan tiga jam bersama pod pengecas. Ia juga menyokong pengecasan nirwayar Qi sebagai ciri tambahan menarik. Harga jualan ialah RM899 dengan pilihan warna hitam dan putih.