Ramai pencipta kandungan sekarang menggemari aplikasi CapCut kerana mempunyai ciri AI yang memudahkan lagi kerja-kerja suntingan. Antara ciri yang kami juga sering gunakan Kapsyen automatik, di mana aplikasi melakukan transkripsi audio dalam video menjadi teks untuk sari kata. Ciri lebih kurang sama ini kini diperkenalkan dalam aplikasi suntingan video profesional Apple Final Cut Pro.
Ciri ini dinamakan sebagai Transcribe to Captions yang menggunakan Apple Intelligence untuk menjana sari kata. Ia dilihat mempunyai kaedah pengguna yang sangat ringkas dengan hanya tekan ikon tongkat sakti yang signifikan dengan ciri AI dan pilih Transcribe to Captions. Ia kemudian akan mengambil masa untuk memproses sebelum transkripsi teks tadi dipaparkan dalam format sari kata untuk suntingan lanjut.
Apple turut menyatakan yang akan datang akan ada ciri AI lain untuk suntingan video. Memandangkan ia adalah sebahagian dari Apple Intelligence, ini bermakna ia disokong pada semua Mac dengan cip Apple M cuma yang akan berbeza adalah prestasi pemprosesan.