Tablet TCL NXTPAPER 14 Disahkan Bakal Tiba Di Malaysia
Amy Maizuraa
TCL 50 Pro NXTPAPER 5G telah diumumkan di Malaysia dengan harga RM1,199 dan dipasarkan sebuah peranti pertengahan dengan rangkaian 5G terbina. Terdapat seperkara turut dikongsi pihak TCL yang mana tablet terkini NXTPAPER 14 juga bakal dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi. Tiada tarikh khusus yang didedahkan namun dijangka boleh tiba seawal Disember 2024 atau selewat-lewatnya pada Januari 2025. Begitu juga dengan harga jualan yang masih menjadi misteri.



TCL NxtPaper 14 menggunakan panel NXTPAPER FHD+ 14.3-inci dengan kadar segar semula 60Hz. Ini dipadankan dengan butang khusus dipanggil NXTPAPER Key di bahagian sisi yang boleh bertukar diantara tiga mod skrin berbeza bergantung pada kandungan yang ingin digunakan. Selain turut berfungsi dengan stylus TCL T-Pen.



Cip Mediatek Helio G99 menguasai tablet dengan pilihan memori 8GB RAM (+8GB RAM secara maya) dan storan dalaman 256GB. Terdapat juga kamera utama 13MP + 5MP dan swafoto sebesar 5MP. Bateri sebesar 10,000mAh disertakan boleh dicas semula melalui pengecasan pantas 33W dan port USB-C. Lain-lain spesifikasi termasuk empat pembesar suara, dua mikrofon, bluetooth 5.0 dan sistem imbasan wajah terbina.