Carian
HMD
Ulasan HMD Barbie Phone – Telefon Bimbit Detoks Dunia Digital
November 1, 2024 Fahim Zahar

Kali terakhir saya memegang telefon bimbit adalah Nokia 3310 versi moden yang nampak cukup menarik. Namun selepas HMD mendiamkan diri di Malaysia, sudah lama saya tidak melihat di depan mata peranti sebegini sehinggalah Barbie Phone dilancarkan. Saya sudah menjadikan telefon ini untuk satu minggu dan dalam artikel akan saya kongsi pengalaman bersama dengannya.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

SkrinDalam – 2.8-inci QVGA
Luar – 1.77-inci QQVGA
CPU/GPUUnisoc T107
Memori/StoranDalaman – 128 MB, kad Mikro SD – 32GB
RAM – 64MB
KameraKamera Utama
0.3 Megapixel, VGA
Flash
1x Lampu LED
Sistem OperasiS30+
Bateri1450 mAh1
Removable
Battery life:
Talk time up to 9 hours (in the lab environment)
SIM/TelefoniDwi-SIM 4G
SambunganBluetooth 5.0
3.5mm
USB-C
Harga JualanRM699

HMD Barbie Phone adalah telefon bimbit biasa dengan sokongan 4G. Ia tiada WiFi, tiada NFC, tiada Android dan boleh dikatakan hampir tiada apa-apa. Barbie Phone hanyalah sebuah telefon katup tradisional dengan elemen moden.

Keseluruhan binaan adalah plastik yang rasa seperti telefon mainan dan bukannya telefon bimbit Nokia yang tahan lasak. Ia mempunyai cermin di luar dan juga skrin kecil untuk notifikasi, skrin dalam berwarna yang memadai dan kekunci-kekunci yang lembut ditekan. Dua butang fizikal turut kelihatan di sisi kiri untuk kuasa dan aras suara.

Barbie Phone direka dengan panel belakang boleh buka. Ia bukan untuk cabut bateri sahaja tetapi turut untuk menukar panel belakang dengan corak berbeza atau untuk menyambungkan aksesori seperti gelang tangan pemegang. Telefon ini menyokong sehingga dua kad SIM 4G dan juga satu kad mikro SD 32GB.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

HMD Barbie Phone tidak menjalankan sistem operasi KaiOS seperti kebanyakan telefon bimbit lain mereka. Sebaliknya ia menjalankan sistem operasi S30+ yang sudah lama digunakan oleh Nokia dan HMD dengan bantuan Unisoc kerana peranti dijana cip Unisoc T107. Tiada perkara istimewa pada telefon bimbit ini selain ia boleh disambungkan kepada Internet untuk melayari web dengan Opera Mini. Opera Mini versi sangat lama sehingga kebanyakan laman web sekarang tidak boleh dibuka termasuk Amanz.

Prestasi peranti adalah sangat lancar, cuma ia sangat leceh kerana semua interaksi perlu menggunakan butang fizikal untuk kawalan. Butang yang kurang enak ditekan membuatkan saya banyak kali salah tekan kerana ia ada sedikit sela masa dan tidak terus membuka apa yang ditekan. Butang di sisi juga tidak enak ditekan dan saya sedari dari tetapan berdering peranti telah dibisukan tanpa sengaja oleh saya.

Skrin di luar mirip sistem Always-on Display Nokia yang terkenal iaitu Glance Screen, cuma ia tidak selaku aktif. Ia memaparkan notifikasi, jam, tarikh dan aras suara. Ia juga agak malap dan kurang berguna untuk saya. Skrin di dalam pada saya cukup besar, tiada masalah untuk membaca teks, membaca notifikasi, menggunakan kamera, menggunakan pelbagai aplikasi dan juga bermain permainan Snake.

S30+ adalah sistem operasi yang sangat terhad. Ia tidak menyokong muat turun aplikasi. Ia hanya membenarkan anda guna apa yang telah tersedia. Edisi Barbie ini membawakan beberapa ciri yang agak menarik, seperti permainan Snake dengan tema pantai ungu dan merah jambu yang sesuai dengan Barbie. Kemudian terdapat ciri notifikasi Barbie yang memberi fakta dan nasihat rawak untuk membebaskan diri dari dunia digital. Sayang sekali, informasi ini tiada pautan untuk bacaan lanjut mengenai Barbie.

Barbie Phone ini turut menyokong radio tanpa memerlukan fon telinga disambungkan pada bicu audio 3.5mm. Ia turut boleh memainkan fail muzik dan mempunyai sokongan terhad untuk memainkan video. Kualiti speaker agak baik walaupun mono. Ia lantang dan mencukupi. Begitu juga dengan kualiti mikrofon apabila menjawab panggilan telefon. Suara kedengaran sangat jelas dan semula jadi.

Kemampuan kamera adalah seakan telefon bimbit kerana menggunakan kualiti VGA. Walaupun begitu, trend yang digemari pengguna Gen Z disertakan seperti ada penuras dan mempunyai hasil imej yang klasik. Kemudian perkongsian fail adalah melalui Bluetooth yang rasa sangat pantas kerana saiz fail sekitar beberapa kilobait sahaja.

Ketahanan bateri peranti dikatakan boleh digunakan secara berterusan untuk 9 jam, tetapi cubaan saya dengan penggunaan ringan ia tiada masalah untuk bertahan sehingga satu minggu. Pengecasan pula adalah dengan USB-C jadi, ia mudah untuk dicas.

APA ADA DALAM KOTAK?

Khas untuk edisi Barbie, HMD menyediakan pelbagai barangan tambahan. Dengan setiap pembelian anda akan menerima;

  • 1x Barbie Phone
  • 2x Panel belakang tambahan
  • 2x Set pelekat
  • 1x Gelang
  • 1x Set rantai kunci mini
  • 1x Kain lap merah jambu
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C
  • 1x Bateri merah jambu
  • 1x Buku panduan/keselamatan

KESIMPULAN

Selepas seminggu menggunakan peranti ini dengan kad SIM saya berada di dalamnya, saya boleh katakan sukar untuk hidup tanpa akses ke dunia digital. Baru dua hari, tangan saya sudah gatal untuk membuka pelbagai aplikasi dan terus tewas dengan kembali menggunakan telefon pintar. Walaupun begitu, sekadar menjawab panggilan telefon oleh penghantar makanan – ia secara tidak langsung mengurangkan sedikit obsesi saya dengan skrin telefon pintar.

Apa-apa pun untuk RM699, HMD Barbie Phone sebenarnya agak mahal. Tiada aplikasi perlu seperti WhatsApp, tiada ciri moden yang menarik dan penggunaannya yang sangat asas sepatutnya dijual pada harga lebih murah. Harga mahal ini anda membayar untuk mendapatkan edisi Barbie dengan pelbagai tema di dalam telefon serta aksesori. Ia lebih kepada telefon untuk menjadi koleksi atau sekadar untuk menceriakan anak-anak.

Pro

  • Rekaan klasik yang menarik.
  • Pilihan dwi-skrin yang unik.
  • Speaker berkualiti.
  • Tema Barbie yang isitmewa.
  • Ada sambungan 4G dan pelayar web Opera Mini
  • Bateri yang tahan lama

KEKURANGAN

  • Penggunaan yang sangat terhad.
  • Tiada WhatsApp.
  • Kamera 0.3MP VGA yang hodoh.
  • Pemain media sukar memainkan video.
  • Butang yang tidak sedap.
  • Binaan rasa murah.
  • Harga yang agak mahal.
Komen