Carian
Apple Memperkenalkan MacBook Pro Dengan Cip M4, Kamera 12MP
October 30, 2024 Aman

Apple hari ini meneruskan pengumuman pengenalan produk baharu melalui pengenalan kemaskini kepada komputer riba MacBook Pro. MacBook Pro baharu ini kini hadir dengan pilihan cip pemprosesan M4, M4 Pro dan juga M4 Max, sekaligus menawarkan pretasi yang berkuasa dan pantas melaluinya.

Menjadi fokus utama pada pengenalan komputer riba ini adalah penggunaan cip berkuasa tinggi terbaru melaluinya, memberikan pilihan sehingga M4 Max. Dengan langkah ini, pengguna boleh menggunakan komputer riba untuk melakukan pelbagai tugasan, termasuk menyunting video, menghasilkan animasi, dan sebagainya – dalam masa pemprosesan lebih singkat berbanding sebelum ini.

Melengkapkan juga keluarga komputer riba baharu ini adalah kamera 12MP Centre Stage baharu, yang menawarkan kualiti video yang baik pada pelbagai keadaan – sesuai untuk panggilan video.

Disamping itu, seperti penawaran produk Apple lain untuk tahun ini, Apple MacBook Pro turut menyokong kecerdasan buatan Apple Intelligence melalui sistem operasi macOS Sequoia. Model yang menggunakan cip M4 Pro dan M4 Max turut menyertakan sokongan sambungan Thunderbolt 5 bersama dengannya.

Semua model MacBook Pro hadir dengan sambungan HDMI yang menyokong resolusi 8K, slot kad SDXC, pengecasan menggunakan MagSafe 3, bicu audio 3.5mm, dan juga sokongan untuk WiFi 6E dan Bluetooth 5.3.

Di Malaysia, MacBook Pro dengan skrin 14-inci dan cip M4 ditawarkan bermula RM6999, M4 Pro pada harga bermula RM8499, dan M4 Max pada harga bermula RM13999. Untuk variasi 16-inci pula, ia hadir dengan pilihan cip M4 Pro pada harga bermula RM10,999 dan cip M4 Max pada harga bermula RM15,299.

Komen