Bersama-sama dengan kemaskini untuk MacBook Pro, pihak Apple turut mengumumkan kemaskini kecil untuk MacBook Air. Sementara tiada pilihan model baharu dengan cip M4 diumumkan, pihak Apple memilih untuk mengumumkan pengenalan semua model MacBook Air dengan memori 16GB RAM sebagai permulaan.
Dengan langkah ini, anda boleh memilih model MacBook Air M2 atau MacBook Air M3, yang kini ditawarkan dengan memori permulaan sebanyak 16GB RAM. Peningkatan ini diperkenalkan oleh Apple selepas sekian lama menawarkan model asas MacBook Air dengan 8GB RAM.
Integrasi kecerdasan buatan dilihat memerlukan kadar memori lebih tinggi, selain selari dengan pelbagai tugasan harian yang menggunakan tenaga pemprosesan lebih tinggi berbanding kebiasaan. Dengan pengumuman ini juga, semua model Mac yang ditawarkan Apple hadir dengan penawaran asas sebanyak 16GB RAM.
Bagi anda yang berminat, boleh mendapatkan MacBook Air pada harga bermula RM4499.