Aplikasi Nintendo Music Dilancarkan Untuk Menstrim Muzik Permainan Video
Effi Saharudin
Aplikasi pensriman muzik Nintendo Music telah dilancarkan hari ini untuk peranti Android dan iOS. Ia hanya akan menstrim lagu dan runut bunyi daripada permainan video Nintendo yang dilancarkan sejak beberapa dekad yang lalu. Antara kandungan yang ditawarkan ialah runut bunyi permainan Super Mario Brothers, Metroid, Legend of Zelda, Pokemon dan banyak lagi.
Yang membezakan Nintendo Music ialah ciri menyorokkan muzik tertentu daripada senarai main untuk mengelakkan beberan (spoilers) plot atau kemunculan watak tertentu. Terdapat juga senarai main mengikut tema permainan video, watak kegemaran, mood pendengar dan juga insiden-insiden tertentu seperti pertarungan dengan musuh utama.

Pengguna juga boleh menetapkan untuk mendengar muzik tertentu berulang kali selama 15 hingga 60 minit jika itu yang ingin dilakukan mereka. Ini adalah ciri berguna bagi mereka yang gemar mendengar muzik daripada permainan video kegemaran di latar ketika melakukan kerja.
Walaupun aplikasi telahpun dilancarkan hari ini dukacita dimaklumkan ia masih tidak boleh diakses pengguna Malaysia. Nintendo Music pada waktu ini hanya disokong di negara-negara ini sahaja. Namun begitu Nintendo mengesahkan perkhidmatan akan diperkenalkan ke negara lain secara berperingkat di masa hadapan.