Carian
OnePlus 13 Dilancarkan Dengan Snapdragon 8 Elite dan Kamera Hasselblad
October 31, 2024 Effi Saharudin

OnePlus 13 telah dilancarkan di China hari ini dengan ia dilengkapi skrin 6.82″ AMOLED 2K, kadar segar semula 120Hz LTPO, keterangan skrin sehingga 4500 nit dan sokongan Dolby Vision. Ia juga merupakan peranti kedua dilengkapi cip mercu Snapdragon 8 Elite selepas siri Xiaomi 15 yang baru sahaja dilancarkan beberapa hari lalu.

Ini dipadankan dengan memori sehingga 24GB LPDDR5X RAM, storan sehingga 1TB UFS 4.0 dan bateri 6000 mAh. Bateri menyokong pengecasan pantas 100W secara berwayar, dan 50W secara nirwayar. Terdapat juga sokongan pengecas menggunakan aksesori pengecasan nirwayar bermagnet.

Sistem kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP Sony LYT-808, ultra sudut lebar 50MP dan lensa periskop 50MP LYT600 dengan kemampuan zum optikal sehingga 3X. Lensa sudut lebar dan telefoto dilengkapi sistem OIS. Sekali lagi sistem kamera Hasselblad disertakan pada peranti mercu ini. Kamera swafoto pula ialah 32MP Sony IMX615.

Tubuh peranti melepas piawaian IP69 dan terdapat butang lungsur pada sisi kiri untuk membisukan notifikasi pada peranti. Di bawah skrin terdapat pengimbas cap jari dari jenis ultrasonik. Sistem audio pula adalah stereo sementara pada bahagian atas terdapat pemancar infra merah. Akhir sekali OnePlus 13 menggunakan sistem operasi OxygenOS 15 yang berasaskan Android 15.

Harga jualan peranti adalah seperti di bawah.

  • 12/256 GB – RMB 4499 (~RM 2768)
  • 12/512 GB – RMB 4899 (~RM 3014)
  • 16/512 GB – RMB 5299 (~RM 3260)
  • 16/1000 GB – RMB 5999 (~RM 3691)
Komen