Selepas Ask Photos diperkenalkan pada Google Photos, kini ciri Ask Maps pula diperkenalkan pada Google Maps. Pada Google Photos pengguna boleh bertanya soalan untuk mencari gambar yang lebih spesifik kerana ia menggunakan kecerdasan buatan generatif (AI) Gemini untuk memahami konteks soalan. Konsep yang turut boleh digunakan pada Google Maps.
Pengguna boleh menaip pada bar carian “kedai makan sekitar Taman Universiti”, cadangan yang lebih spesifik dan lebih tepat akan dipaparkan. Kemudian setiap cadangan turut mempunyai paparan ulasan yang telah diringkaskan oleh Gemini. Pengguna turut boleh terus tanya Gemini apabila tiba di sesuatu destinasi melalui preset soalan yang disediakan dalam Ask Maps about this place.
Tambahan kepada sokongan Gemini ini, ciri Immersive View turut menerima kemas kini dengan ia kini boleh memaparkan lokasi parkir dan juga mencari jalan pintasan untuk ke sesuatu destinasi. Buat masa ini, ciri Ask Maps dan paparan parkir 3D ini terhad di Amerika Syarikat dahulu. Google tidak berkongsi bila ia akan ditawarkan kepada pengguna peringkat global. Turut dikhabarkan akan datang, sokongan Ask Maps dengan Gemini ini turut akan diberikan pada sistem inforia Android Auto.