Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini mengumumkan mereka telah melakukan pelbagai proses terperinci dari aspek teknikal dan komersil dalam memilih penyedia dan pengendali rangkaian mudah-alih 5G kedua Malaysia, dan telah memilih U Mobile Sdn Bhd untuk melaksanakannya.
Pada masa yang sama, SKMM menekankan yang mana U Mobile dibenarkan untuk bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi lain bagi memanfaatkan kelebihan masing-masing dalam pelaksanaan Rangkaian 5G Kedua Malaysia – tetapi tertakluk kepada kebenaran dan pengesahan pihak SKMM. Dengan pengumuman ini, kita mungkin mendengar lanjut berkenaan proses seterusnya, dan garis masa yang ditetapkan untuk U Mobile mencapai kadar liputan 5G meluas di Malaysia.
Sebelum ini, pada awalnya Malaysia memilik pelaksana tunggal untuk rangkaian 5G di Malaysia, dan telah memilih Digital Nasional Berhad (DNB) untuk melaksanakannya. Syarikat DNB sendiri ditawarkan saham dan pegangan kepada syarikat telekomunikasi lain dalam usaha membangunkan rangkaian berkenaan bersama-sama. Namun, untuk mengelak monopoli, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan rangkaian 5G kedua Malaysia selepas liputan DNB mencapai 80%.
Pelbagai pihak menyertai bidaan untuk membangunkan rangkaian 5G kedua Malaysia, termasuk CelcomDigi dan juga Maxis. Dengan pengumuman hari ini, ia dilihat U Mobile akan membangunkannya, dan tidak diketahui sama ada mereka akan membukanya untuk dibangunkan bersama pihak lain atau sebaliknya.