Permainan Doom Berjaya Dimainkan Pada Jam Penggera Nintendo Alarmo
Fahim Zahar
Biasanya setiap kali produk baharu yang dilancarkan oleh pengeluar yang terkenal dengan produk gaming, pasti akan ada terma Can it run Doom? Terbaru, permainan klasik ini berjaya dijalankan pada produk Nintendo yang baru sahaja dilancarkan bulan lepas dan ia bukannya produk untuk bermain permainan video.
Produk ini adalah jam penggera Alarmo dan ya, seorang pembangun berjaya menjalankan Doom pada jam ini. Permainan ini turut boleh dikawal dengan setiap butang fizikal Alarmo seperti butang berbentuk cendawan di bahagian atas untuk bergerak dan butang lain untuk menembak atau membuka pintu. Pembangun ini menyatakan kaedah pemasangan tidak begitu rumit kerana jam ini tidak perlu dibuka dan hanya menggunakan sambungan USB sudah memadai.

Perkara ini turut dibolehkan selepas Spinda, seorang lagi pembangun yang menggunakan Flipper Zero berjaya mengeluarkan fail imej sistem operasi jam penggera Nintendo ini. Fail perisian ini kemudiannya diubah untuk menyertakan permainan Doom. Kita semua tahu yang Nintendo sangat anti dengan pelagak permainan, jadi tidak pasti bila mereka akan menghalang permainan Doom boleh dimainkan pada Alarmo dan pasti akan datang akan ada macam-macam lagi pengubahsuaian akan berlaku.
[sumber] The Verge [/sumber]