Anda Kelak Boleh Kongsi Lokasi AirTag Untuk Penjejakan Bersama Dalam iOS 18.2
Fahim Zahar
Apple AirTag adalah penjejak objek yang cukup popular. Ia menggunakan sambungan UWB agar boleh mencari sesuatu dengan tepat. Penggunaannya cukup popular sehingga Google mengemaskini Find My Device untuk menjadi seakan Apple Find My. Terbaru, Apple menguji kebolehan berkongsi lokasi AirTag pengguna.

Ciri ini berbeza dengan kongsi AirTag bersama pengguna lain yang sebelum ini terhad dengan ahli keluarga sahaja. Share Item Location membolehkan pengguna kongsi lokasi sesuatu objek dengan AirTag kepada sesiapa sahaja. Selain itu, objek yang telah hilang turut boleh dikongsi. Ciri ini adalah untuk memudahkan lagi proses pencarian dengan lebih ramai boleh mencarinya, seperti bagasi yang hilang di lapangan terbang atau dengan kawan-kawan ketika bercuti.

Selepas dikongsi, pengguna perlu beri pautan khas kepada individu yang ingin dikongsi. Pautan ini akan tamat tempoh dalam masa 7 hari. Jumlah individu yang mengakses pautan ini turut akan dipaparkan. Apple turut menguji ciri untuk pengguna kongsi butiran maklumat peribadi seperti nama dan nombor telefon agar objek yang hilang selepas dijejak boleh terus dimaklumkan kepada pemilik.
Ciri ini sedang diuji dalam iOS 18.2 versi beta pembangun kedua. Ia dianggarkan akan tiba dalam bentuk stabil seawal bulan Disember bersama-sama dengan integrasi ChatGPT.