Acer Memperlihatkan Memori CUDIMM DDR5 Predator Hera Special Edition Yang Disalut Emas
Nazrin
Tahun ini memperlihatkan sejumlah penawaran piawaian memori serba baru yang nampaknya bakal merancakkan lagi sektor PC desktop, seperti memori LPDDR5 CAMM2, dan baru-baru ini, memori CUDIMM.

Jika memori LPDDR5 CAMM2 hadir dengan rekaan yang lebih leper, memori DDR5 CUDIMM tampil dengan rekaan menyerupai memori DDR5 sedia ada, tetapi hadir dengan beberapa komponen tambahan yang membolehkannya beroperasi pada kadar penghantaran memori yang jauh lebih pantas berbanding penawaran biasa.
Dengan ini, Acer baru-baru ini telah memperlihatkan penawaran memori CUDIMM pertama mereka yang dinamakan Predator Hera Special Edition yang hadir dengan jumlah memori sebanyak 24GB. Secara asasnya, memori ini tampil dengan kelajuan penghantaran data 9200MT/s, mempunyai profil Intel XMP dan boleh dilewahjam sehingga 10,000MT/s secara manual.

Selain daripada itu, keunikan memori Predator Hera ini ialah ia tampil dengan rangka luaran yang diperbuat daripada logam dan disalut emas 24 karat. Ia juga dilakukan dalam beberapa lapis, dan ini memberikannya rupa yang sangat berkilat.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Acer akan memperkenalkan memori Predator Hera Special Edition ini.