Xiaomi HyperOS adalah sistem operasi generasi baharu Xiaomi yang memfokuskan kepada ekosistem Human x Car x Home. HyperOS bukan sekadar pengganti MIUI untuk telefon tetapi juga tablet, jam tangan pintar dan inforia kereta elektrik SU7. Terbaru, HyperOS digunakan dalam skrin pintar pula.
Xiaomi Smart Home Screen Mini adalah jawapan Xiaomi kepada Google Nest Hub dan Amazon Echo Show yang memfokuskan kepada pasaran China dengan penggunaan Xiao AI dan Mi Home. Smart Home Screen Mini ini membolehkan pengguna mengawal peranti Internet benda yang telah dipasang, mengawal muzik, mendapatkan notifikasi, melihat penstriman kamera litar tertutup dan pilihan kustomasi skrin turut diberikan.
Smart Home Screen Mini ini menjalankan HyperOS tetapi tidak dinyatakan sama ada adakah ianya Android atau platform berbeza. Imej promosi yang dikongsi Xiaomi memaparkan rekaan antaramuka mirip HyperOS yang sama pada peranti Android.
Tidak pasti jika Xiaomi akan menjualnya di pasaran global dengan pilihan Google Assistant atau akan terhad di China sahaja. Xiaomi Smart Home Screen Mini dijual pada harga RMB269 iaitu sekitar RM165.