Teknologi kecerdasan buatan adalah sangat dahsyat dan hebat sehingga jika berada di tangan orang yang tidak bertanggungjawab, macam-macam penipuan boleh berlaku. Walau bagaimanapun jika digunakan oleh orang yang sepatutnya, kandungan legenda boleh dihasilkan. Terbaru, lagu baharu The Beatles iaitu Now and Then yang diterbitkan dengan bantuan AI telah tercalon untuk dua anugerah Grammy.
The Beatles tercalon untuk persembahan Rock terbaik dan juga rakaman terbaik tahun ini. Mereka akan bersaing bersama-sama dengan Beyoncé, Charlie XCX, Billie Eilish, Taylor Swift, Green Day, Pearl Jam, dan The Black Keys. Lagu ini layak memenangi anugerah kerana Grammy sendiri yang membenarkannya, dengan syarat anugerah dimenangi oleh manusia dan bukannya dengan cara yang tidak sah.
Sir Paul McCartney dan Ringo Starr adalah dua ahli Beatles yang masih hidup. Mereka berjaya menyiapkan lagu Now and Then yang tergendala sejak 1995 kerana demo rakaman suara John Lennon (mati pada tahun 1980) dalam kaset tidak dapat diasingkan dengan bunyi instrumen. Ahli lagi satu adalah George Harrison, beliau meninggal dunia pada tahun 2001.
Tidak dinafikan agak aneh melihat lagu The Beatles yang dihasilkan pada era 90-an bertanding bersama-sama dengan artis-artis dan lagu moden. Apa-apa pun, minat kepada muzik The Beatles masih lagi tinggi di kalangan generasi muda kerana mereka merevolusikan muzik genre Rock di dekad 60an dan 70an.