Lukisan Yang Dihasilkan Oleh Robot Dengan AI Dilelong Pada Harga $1.32 Juta
Effi Saharudin
Adakah karya yang dihasilkan oleh robot dengan kecerdasan buatan (AI) mempunyai nilai di mata manusia? Jawapannya ialah ya selepas lukisan bertajuk “AI God” yang dilukis oleh robot Ai.Da telah dilelong pada harga $1.32 juta oleh Sotheby hujung minggu lalu.

Ini ialah harga yang jauh lebih tinggi berbanding anggaran asal $180,000 oleh Sotheby. AI God terdiri daripada lima lukisan potret Alan Turing yang merupakan ahli matematik yang diberikan gelaran Bapa Sains Komputer Teoretikal. Beliau menghasilkan algoritma awal untuk komputer yang berjaya memecahkan kod rahsia mesin penyulitan Enigma yang digunakan oleh Jerman ketika Perang Dunia Kedua.

Robot Ai-Da menggunakan kamera dan algoritma untuk menghasilkan kelima-lima lukisan abstrak yang diperlihatkan pertama kalinya ketika Sidang Kemuncak AI Untuk Kebaikan di bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva Mei lalu. Identiti pembeli belum lagi didedahkan tetapi sebanyak 27 bidaan dilakukan semasa lelongan dilakukan.
AI God bukan satu-satunya lukisan yang telah dihasilkan oleh Ai.Da. Sebelum ini ia turut menghasilkan potret sendiri dan juga mendiang Ratu England. Hanya AI God sahaja yang telah berjaya dijual setakat ini.