LG Display telah berjaya menghasilkan skrin yang boleh diregang sehingga 50% panjang asal. Dalam demo yang dipamerkan di LG Science Park pada Ahad lalu, skrin dari jenis micro LED ini boleh ditarik daripada 12-inci menjadi 18-inci tanpa mengalami sebarang kerosakan.
Pada waktu yang sama, skrin ini juga boleh dipintal dan dilipat dengan kepadatan pixel 100 ppi. Dua tahun lalu LG memperlihatkan prototaip pertama skrin boleh regang mereka tetapi pada waktu tersebut had skrin boleh ditarik ialah sehingga 20% sahaja. Setiap panel juga hanya setebal 40μm dan boleh bertahan ditarik sehingga 10,000 kali tanpa sebarang perubahan pada keterangan imej yang dipaparkan.
Teknologi ini bukan sahaja boleh digunakan pada peranti pintar tetapi LG menunjukkan demo ia digunakan dalam kenderaan. Butang akan timbul pada permukaan skrin yang pada asalnya rata.