Rode Wireless Micro Dilancarkan Dengan Saiz Lebih Kompak
Effi Saharudin
Mikrofon mudah alih Rode menawarkan rakaman audio berkualiti tinggi tetapi kekurangannya ialah saiznya yang besar berkotak membuatkan baju londeh ke bawah akibat terlalu berat. Mengikuti trend mikrofon yang menyasarkan pencipta kandungan media sosial, Rode Wireless Micro dilancarkan hari ini dengan saiz yang lebih kompak.

Rode Wireless Micro kini mempunyai saiz mikrofon kecil berbentuk pil dengan pod simpanan yang juga bersaiz jauh lebih kompak. Setiap unit Wireless Micro hadir dengan dua penerima isyarat yang boleh disambungkan kepada telefon pintar menggunakan port USB-C atau Lightning.

Ia direka khusus untuk telefon pintar maka tidak hadir dengan unit penerima yang boleh disambungkan kepada kamera. Kedua-dua mikrofon yang disertakan hadir dengan klip dan juga sambungan magnet yang ditemukan pada mikrofon DJI dan HollyLand.
Setiap mikrofon boleh beroperasi sehingga 7 jam dengan sekali caj atau sehingga 21 jam dengan bantuan pod pengecas. Unit penerima boleh menangkap isyarat audio sehingga jarak 100 meter. Rode Wireless Micro dijual pada harga $149 (~RM 660) untuk satu set dalam pilihan warna hitam dan putih.