Enjin Carian Eropah Membentuk Usahasama Membangunkan Indeks Web
Aman
Di Eropah, terdapat beberapa syarikat yang memfokuskan kepada pembangunan enjin carian tersendiri, dengan ciri-ciri khusus. Dua antaranya, kini mengumumkan pembentukkan usahasama dalam membangunkan indeks web khusus tersendiri. Dua syarikat berkenaan adalah Qwant dan juga Ecosia.
Qwant merupakan sebuah enjin carian dengan fokus terhadap privasi, sementara Ecosia pula merupakan enjin carian yang menggunakan pendapatan untuk tanam pokok.
Dengan membangunkan indeks mereka tersendiri, ia boleh mengurangkan kebergantungan kepada gergasi Bing dan Google dalam menguasakan enjin carian mereka. Pada masa yang sama, ia juga dijangka akan mengurangkan kos operasi kerana tidak perlu menggunakan API oleh Microsoft atau Google.
Peralihan ini dijangka akan membolehkan mereka melakukan lebih inovasi berasaskan kepada indeks web yang dibangunkan oleh mereka, selain turut bersedia untuk integrasi sokongan kecerdasan buatan janaan pada enjin carian, seperti beberapa penyedia yang lain.
Syarikat usahasama ini akan dinamakan European Search Perspective, dan dimiliki 50:50 oleh kedua-dua syarikat enjin carian berkenaan. Penggunaan indeks web pada kedua-dua enjin carian berkenaan dijangka dilaksanakan bermula 2025 kelak.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.