Apple Music Melancarkan Buku Fizikal 100 Album Terbaik Berharga RM2,150
Fahim Zahar
Apple Music adalah produk digital Apple yang memerlukan langganan bulanan untuk diakses. Ia turut boleh didapatkan secara percuma jika membeli produk Apple dan boleh jimat jika melanggan berkas melalui Apple One. Terbaru, Apple telah melancarkan produk fizikal pertama untuk Apple Music sempena menyambut 100 album terbaik.


Produk ini adalah buku Apple Music: 100 Best Albums di bawah koleksi The Legends Collection. Buku ini menyenaraikan kesemua 100 album terbaik yang tersenarai dalam Apple Music yang dipilih oleh pasukan Apple yang bekerjasama dengan artis seperti Maren Morris, Pharrell Williams, J Balvin, Charli XCX, Mark Hoppus, Honey Dijon, dan Nia Archives. Pemilihan album adalah dari sudut pandangan editor mereka dan bukannya data penstriman.

Apple Music: 100 Best Albums turut menyertakan kata penghantar oleh Zane Lowe, mempunyai 97 grafik eksklusif, mempunyai aksen emas berkilau pada sisi buku, dan buku ini mempunyai berat sekitar 3.63 kilogram. Setiap buku ini turut didatangkan bersama kerangka pelindung akrilik dengan logo Apple Music. Hanya 1500 naskah diterbitkan dan setiap buku akan ada ukiran nombor edisi.
Jika anda berminat, buku ini boleh dibeli dan dihantar di ke Malaysia dengan harga jualan RM2,150.
[sumber] X – Apple [/sumber]